Followers

Saturday, January 16, 2010

Lawatan PM tarik pelabur UAE tanam modal di Malaysia

ABU DHABI: Lawatan rasmi empat hari Datuk Seri Najib Razak ke Abu Dhabi mulai hari ini mampu meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan dagangan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), terutama menarik kemasukan dana pembiayaan asing.

Duta Malaysia ke UAE, Datuk Yahaya Abdul Jabar, berkata kunjungan Perdana Menteri dilihat usaha terbaru Malaysia menarik lebih banyak penanaman modal UAE, terutama dana pembiayaan asing berikutan banyak pelabur negara rantau Teluk beralih ke rantau Asean.

Yahaya berkata, pelabur UAE komited untuk mengalirkan modal kira-kira AS$2.7 bilion ke Malaysia dan dijangka beberapa memorandum (MoU) termeterai menerusi kunjungan Perdana Menteri kali ini.

"Serentak dengan dasar liberalisasi kewangan, kita berusaha meningkatkan pelaburan UAE dalam projek koridor pembangunan wilayah serta sektor kewangan, terutama perbankan Islam.

"Kita sedang mengenal pasti beberapa pelabur UAE, termasuk Abu Dhabi Islamic Bank dan National Bank of Abu Dhabi untuk mempertimbangkan operasi perbankan Islam di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, lewat petang ini.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang singgah dari lawatan rasmi ke Arab Saudi dijadual tiba di sini lewat malam ini.

Sempena lawatan rasmi ke UAE, Perdana Menteri dijadual berucap pada sidang pleno Sidang Puncak Tenaga Masa Depan Dunia di Dewan Pameran Kebangsaan Abu Dhabi, esok.

0 comments: