Followers

Thursday, January 7, 2010

Kerajaan akan pertingkatkan pelaksanaan projek untuk rakyat

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperbanyakkan lagi program dan projek berasaskan kepentingan rakyat seperti Klinik 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, hasrat kerajaan ialah memastikan supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan dalam masa singkat dan dengan itu keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan meningkat.

"Kita akan terus membela kepentingan selagi diberi mandat. Kerajaan BN (Barisan Nasional) akan terus menjalankan kewajipan membela rakyat," katanya ketika merasmikan Klinik 1Malaysia di Lembah Subang, dekat sini, hari ini.

Lebih 2,000 orang termasuk penduduk setempat hadir memeriahkan majlis itu.

Sebelum itu, Najib melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi Lembah Pantai, di sini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mencetuskan idea Klinik 1Malaysia kerana melihat masalah rakyat dalam negara secara menyeluruh, bukan saja masalah rakyat di luar bandar, tetapi juga rakyat di bandar dan pinggir bandar.

Najib berkata, hakikatnya bukan semua penduduk di bandar berpendapatan tinggi atau mewah kerana masih ramai juga penduduk dalam kawasan bandar tergolong dalam kategori miskin dan memerlukan pertolongan kerajaan.

Walaupun pendapatan penduduk di bandar lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar, beliau berkata, tetapi kos sara hidup di kawasan bandar adalah lebih tinggi dan kerajaan perlu membantu golongan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya, pekerja-pekerja kilang dan pekerja berpendapatan rendah yang menghadapi kesempitan hidup.

Katanya, satu daripada idea untuk mengurangkan tekanan hidup penduduk bandar yang kurang berkemampuan ialah mewujudkan perkhidmatan kesihatan berhampiran kawasan tempat tinggal mereka.

"Dengan wujudnya rangkaian Klinik 1Malaysia ini mereka yang tinggal dalam kawasan berkenaan mendapat rawatan kesihatan yang berkualiti dengan bayaran hanya RM1 saja.

“Ini lebih baik daripada menerima kemudahan-kemudahan lain kerana tidak banyak yang boleh dimiliki dengan RM1 pada masa kini," katanya.

Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana di sesetengah negara lain, rakyat terpaksa mempunyai insuran kesihatan sebelum mendapat perkhidmatan, dan ada juga di negara lain rakyat terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

"Tetapi dengan konsep ini ia membawa kemudahan kepada rakyat dan mereka tidak perlu bersusah payah pergi jauh dari tempat tinggal untuk mendapatkan rawatan.

"Turun ke bawah sudah ada klinik mana ada perkhidmatan macam ini, tidak perlu hidupkan kereta atau enjin motosikal, boleh jalan kaki," katanya. - Bernama

0 comments: