Followers

Monday, January 4, 2010

Kerajaan yakin landasan berkembar siap ikut jadual

BUTTERWORTH: Kerajaan yakin pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (PLBE) akan siap mengikut jadual pada 2013, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata walaupun pembinaan landasan itu menghadapi sedikit kelewatan berikutan masalah pengambilan tanah, ia tidak menjejaskan keseluruhan projek.

"Sasaran kemajuan projek pada November 2009 sepatutnya 47.2 peratus tetapi kita hanya dapat capai 34.3 peratus sahaja. Ini bermakna sasaran kita kurang sebanyak kira-kira 12.8 peratus," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan saguhati kepada setinggan yang terjejas akibat pembinaan landasan berkembar itu, di sini, hari ini.

Seramai 131 setinggan masing-masing menerima RM42,000 pada majlis itu.

Ong berkata setelah masalah pengambilan tanah itu selesai, peratusan kelewatan itu dijangka menurun daripada 12.8 peratus kepada lima peratus.

"Bila berlaku kelewatan pada peringkat tertentu, ini tidak bermakna keseluruhan projek itu akan lewat. Kita mungkin boleh mempercepatkan pembinaan landasan itu selepas ini," katanya.

Ong berkata kerja-kerja pembinaan PLBE, yang dikendalikan MMC-Gamuda JV kini berjalan lancar di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

PLBE, sejauh 329 km itu berharga RM12.485 bilion.

Ia adalah kesinambungan kepada projek pembinaan landasan berkembar elektrik menghubungkan Rawang di Selangor dan Ipoh, Perak yang siap sepenuhnya pada 31 Disember 2007. - Bernama

0 comments: