Followers

Monday, January 4, 2010

Kerajaan cadang denda pemohon gagal tuntut MyKad

KUCHING: Kerajaan bercadang mengenakan hukuman denda terhadap pemohon yang gagal menuntut Kad Pengenalan Pintar (MyKad) dalam tempoh tiga tahun, selepas membuat permohonan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusof, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menjalankan kajian mengenai perkara itu dan besar kemungkinan denda akan dikenakan seperti denda terhadap kehilangan dokumen pengenalan diri itu.

"Kita perlu mengambil tindakan memandang kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi membuat MyKad," katanya selepas melawat ibu pejabat JPN Sarawak dan mendengar taklimat pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan di sini, hari ini.

Abu Seman berkata, MyKad yang gagal diambil pemiliknya di pejabat JPN berhampiran tiga tahun selepas tarikh permohonan akan diklasifikasi sebagai “Mykad Tidak Dituntut”.

Katanya, jumlah MyKad tidak dituntut oleh pemiliknya di Sarawak mencecah 18,497 unit.

Katanyam walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membolehkan pemohon mengambil MyKad mereka melalui pertolongan wakil rakyat, ketua kampung dan penubuhan Unit Bergerak JPN, namun masalah kegagalan menuntut kad berkenaan masih berlaku.

Mengulas dakwaan wujudnya penduduk Sarawak memiliki dua kewarganegaraan khususnya mereka yang menetap berhampiran sempadan Brunei, Abu Seman berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu didapati berasas.

"Jika ada bukti, kita akan lucutkan kewarganegaraan individu tersebut kerana bukan dasar Malaysia membenarkan rakyatnya memiliki dua kewarganegaraan," katanya. - Bernama

0 comments: