Followers

Friday, July 16, 2010

Pairin yakin masalah bekalan elektrik di Sabah dapat diatasi segera

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yakin masalah bekalan elektrik yang dihadapi di Sabah sekarang akan dapat diatasi segera ke paras yang minimum.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata keyakinan itu berdasarkan kegigihan dan komitmen Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang disokong kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menangani masalah itu.
"Walaupun ketika ini kita menghadapi beberapa cabaran namun saya yakin dan percaya masalah ini akan segera diatasi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Terbuka dan Hari Vendor SESB di Wisma SESB di sini, hari ini.
Pairin berkata, sasaran kerajaan untuk memastikan Indeks Sistem Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) elektrik, dengan sasaran 700 minit (pengguna) setahun menjelang akhir tahun ini, akan dapat diatasi melalui pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan projek khas di bawah inisiatif SAIDI 700 minit berjumlah lebih RM1 bilion.

Katanya, ia meliputi projek penghantaran dan pembahagian, dan pengendalian projek tersebut menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan elektrik di negeri ini.

"Justeru, sektor yang paling penting yang perlu ditangani pada ketika ini adalah sektor penjanaan. Kekurangan kapasiti janaan yang kritikal dengan margin simpanan yang sangat nipis menyumbang kepada masalah gangguan bekalan yang berlaku selama ini," katanya.

Pairin berkata, SESB bersama pihak Penjana Bebas (IPP) sentiasa berusaha untuk memastikan supaya jentera terbabit berada dalam keadaan yang baik, sekaligus memastikan sistem penjanaan berada dalam paras yang baik untuk memenuhi permintaan yang menjangkau 760MW pada ketika ini.
Menurutnya, peningkatan permintaan itu disebabkan peningkatan pelanggan yang drastik daripada kira-kira 290,000 pada awal penswastaan (1998) hingga menjangkau 428,717 setakat Mei tahun ini.

Peningkatan itu membuktikan Sabah telah membangun dengan pesatnya, katanya.

Pairin turut menyambut baik langkah pantas SESB untuk memasang set-set janakuasa bergerak di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu sebagai usaha sementara SESB untuk menambah kapasiti janaan di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, projek pembangunan stesen janakuasa IPP menghadapi masalah kelewatan, dan ini menjejaskan usaha untuk memantapkan serta memperkukuhkan sistem perkhidmatan elektrik di Sabah. - Bernama

0 comments: