Followers

Friday, July 16, 2010

Bursa Malaysia catat peningkatan keuntungan RM78.156 juta separuh pertama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM78.156 juta bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2010, berbanding RM70.170 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan, berkata perolehan meningkat kepada RM172.375 juta berbanding RM158.731 juta sebelumnya.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2010, Bursa Malaysia merekodkan keuntungan sebelum cukai yang rendah, sebanyak RM38.6 juta berbanding RM48.339 juta bagi suku yang sama tahun lalu.
Perolehannya turut susut kepada RM84.266 juta berbanding RM94.579 juta sebelumnya.

Menurut Bursa Malaysia, pasaran sekuriti dipengaruhi oleh pembangunan dan sentimen global dan domestik.

"Walaupun unjuran global kekal dalam keadaan berhati-hati, Model Baru Ekonomi dan pelbagai inisiatif pasaran modal yang diumumkan ketika Invest Malaysia 2010, menunjukkan penerusan positif usaha liberalisasi yang bermula pada tahun sebelumnya.

"Menerusi inisiatif kerajaan ini serta perakuan baru-baru ini bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang diluluskan menerusi Skim Pelabur Institusi Domestik Berkelayakan China, kami menjangkakan kemasukan dana akan meningkat ke dalam negara."
Peningkatan tawaran awam permulaan (IPO), dana dagangan bursa (ETF) yang baharu, dan Callable Bull Bear Certificates, yang akan mula ditawarkan kepada pelabur mulai pertengahan bulan ini, juga dijangka meningkatkan aktiviti dagangan, kata Bursa Malaysia.

"Oleh itu berdasarkan faktor seimbang ini, kami optimistik namun brehati-hati, terhadap prestasi pasaran doemstik dalam tempoh yang berbaki tahun ini.

"Kami terus melabur dalam pembangunan pasaran modal dan persekitaran kawal aturan dan pada masa yang sama akan memantau rapi perbelanjaan kami,” katanya.

Produk utama Bursa Malaysia di pasaran derivatif ialah Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan Kontrak Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI).

Ia diunjurkan jumlah FCPO terus kukuh selari dengan harga jajaran kecil minyak sawit mentah dan minat terhadap FKLI dijangka bergerak selari dengan naik turun pasaran sekuriti.

"Kami optimistik bahawa pemindahan produk derivatif dan aktiviti dagangan ke CME Globex dan kelulusan yang diberikan oleh United States Commodity Futures Trading Commission kepada broker Malaysia untuk berdagang terus kepada pengguna Amerika Syarikat pada separuh kedua tahun ini, akan meningkatkan lagi minat terhadap pasaran derivatif," katanya. - Bernama

0 comments: