Followers

Friday, July 16, 2010

Belajar berdikari, bukan terima bantuan kebajikan semata-mata: Najib

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kesungguhan kerajaan membasmi kemiskinan bukanlah hanya melalui bantuan kebajikan semata-mata tetapi menggalakkan golongan miskin terbabit, berdikari.
Katanya, menerusi pelbagai projek membasmi kemiskinan, kerajaan mahu golongan terbabit dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka dan keluar dari kepompong kemiskinan.
"Biar miskin, tapi jangan miskin jiwa, guna kudrat yang ada, walaupun miskin dari (segi) pendapatan tetapi tidak miskin jiwa dan semangat untuk berubah," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Bukit Kenau, dekat sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, menerusi projek yang dirasmikannya hari ini itu misalnya, peserta terbabit perlu bersungguh-sungguh untuk berubah menerusi pelbagai projek menjana pendapatan yang disediakan.

Seramai 60 keluarga miskin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis di bawah Parlimen Pekan, terbabit dalam projek berkenaan yang bukan saja diberikan rumah, tetapi turut dilengkapi dengan pelbagai peluang aktiviti ekonomi seperti akuakultur, ternakan, kambing, tanaman secara fertigasi, gerai makanan dan kedai runcit.

Peserta program berkenaan dipilih daripada senarai penerima zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Program berkenaan adalah satu usaha kerajaan dengan kerjasama pihak swasta untuk menyelesaikan masalah kemiskinan secara terancang.
Perdana Menteri berkata, usaha berkenaan adalah satu pendekatan baru yang membabitkan pihak swasta bersama kerajaan untuk membasmi kemiskinan di negara ini.

"Usaha membanteras kemiskinan bukan peranan kerajaan semata-mata, falsafah asas projek ini juga menepati syariat Islam di mana syarikat-syarikat swasta membantu kerajaan membasmi kemiskinan menerusi pembayaran zakat," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Bernama

0 comments: