Followers

Monday, June 7, 2010

Cuaca buruk di Pulau Pinang dijangka berterusan tiga hari lagi

GEORGETOWN: Keadaan cuaca buruk yang melanda Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga Khamis ini berikutan fenomena angin kencang di perairan utara Semenanjung sejak Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Loh Eng Kee, berkata sepanjang tempoh itu Pulau Pinang dijangka mengalami hujan lebat terutamanya pada waktu malam dan boleh mengakibatkan banjir kilat di kawasan rendah di seluruh negeri.
"Perairan di sekitar negeri ini dilaporkan bergelora dengan ombak mencapai ketinggian antara dua dan tiga meter dan berbahaya untuk bot-bot kecil. Nelayan pantai dinasihatkan agar tidak ke laut untuk sementara waktu ini," katanya di sini hari ini.
Loh berkata, cuaca buruk itu juga adalah permulaan musim hujan di kawasan utara semenanjung.

Sementara itu, beberapa kawasan sekitar bandar Georgetown telah ditenggelami air kelmarin dan semalam akibat hujan lebat selama hampir empat jam pada sebelah malam.

Antara kawasan yang ditenggelami air antara 0.5 hingga satu meter ialah Jalan P Ramlee, Kampung Dodol, Lebuh Maccalum, sebahagian Jalan Sungai Pinang, Lebuh Noordin dan sebahagian Jalan Perak.

Sementara itu, 20 nelayan pantai di kawasan Tanjong Tokong di sini mendakwa kerugian lebih RM20,000 apabila bot mereka yang ditambat di kawasan pantai musnah dipukul ombak tinggi.
Seorang nelayan, Kamaruddin Othman, 57, berkata bot enjin sangkutnya pecah manakala enjin bot itu juga rosak setelah dipukul ombak kuat pada pukul 2 pagi ini.

"Saya baru seminggu membelanjakan RM8,000 untuk membaiki bot dan enjin dan tidak sangka akan berlakunya ombak besar malam tadi sampai boleh merosakkan bot dan enjin," katanya.

Selain kerosakan bot, nelayan berkenaan juga kerugian setelah pukat mereka tertanam di dalam pasir selepas dihanyut ombak. - BERNAMA

0 comments: