Followers

Sunday, May 23, 2010

Terengganu terima tambahan bekalan gula 400 tan metrik bermula bulan ini

KUALA TERENGGANU: Bermula bulan ini bekalan gula untuk Terengganu ditambah sebanyak 400 tan metrik menjadikan bekalan bulanan meningkat kepada 2,268.5 tan metrik.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd Hilmi Mohd Noor, berkata kuota tambahan itu bagi menampung permintaan yang meningkat di Terengganu.
“Bekalan tambahan ini akan diteruskan sehingga keadaan permintaan kembali stabil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Hilmi berkata, pada dasarnya bekalan yang diperuntukkan sebelum ini iaitu sebanyak 1,868.5 tan metrik sudah lebih daripada mencukupi namun kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, isu gula di Terengganu bukan berpunca daripada kekurangan bekalan tetapi disebabkan pembelian melebihi keperluan oleh pengguna.

Mohd Hilmi berkata, pihaknya juga memantau penghantaran bekalan kilang kepada pemborong setiap hari bagi memastikan sebarang masalah yang timbul di antara kedua-dua pihak itu akan diatasi segera.

“Tindakan itu bagi menjamin bekalan gula yang diperuntukkan untuk Terengganu tiba mengikut jadual dengan kuantiti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau juga memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk perbuatan menyorok bekalan dan melakukan penjualan bersyarat. - Bernama

0 comments: