Followers

Sunday, May 23, 2010

Dua lelaki ditahan, lapan wanita diselamatkan dari pusat urut di JB

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 28 dan 58 tahun kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pemerdagangan manusia di dua pusat urut yang terletak bersebelahan di Jalan Pingai, Taman Pelangi di sini, malam semalam.
Dalam serbuan yang dijalankan jam 8.30 malam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan polis Kontinjen Johor itu, tujuh wanita Kemboja dan seorang wanita Indonesia berusia 20-an yang dipercayai mangsa kegiatan itu diselamatkan.
Asisten Superintendan Nordin Ibrahim, yang mengetuai operasi itu, berkata polis turut menahan lima wanita warga Thailand, dan dua wanita warga China berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/1967.
"Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 58 tahun itu dipercayai menggunakan wanita warga asing berkenaan untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perniagaan mengurut," katanya di lokasi serbuan.

Polis juga menemui paket-paket kondom dan kondom terpakai di kedua-dua premis tersebut.

Siasatan awal mendapati pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan “ekstra” perlu tawar menawar dengan wanita terbabit.

Nordin berkata, pemeriksaan mendapati premis tersebut beroperasi sejak lima bulan lalu.
Kedua-dua lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit yang sah dan Seksyen 55E akta yang sama kerana memberi perlindungan kepada warga asing. - Bernama

0 comments: