Followers

Sunday, May 23, 2010

Rawatan perubatan guna Rafflesia boleh sebabkan kegagalan hati, limpa: UKM

KUALA LUMPUR: Ujian klinikal ke atas tikus menunjukkan bahawa perubatan tradisional yang menggunakan bunga Rafflesia boleh menyebabkan kesan serius ke atas hati dan limpa, dakwa seorang pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Nazlina Ibrahim dari pusat pengajian Biosains dan Bioteknologi universiti itu berkata, penyelidikan pelajar sarjana Khairunnadwa Jemon mendapati organ dalaman tikus putih yang telah melahirkan anak dan diberikan beberapa sebatian tunas Rafflesia, selama 14 hari telah menjadi kecil.
Katanya, perubatan tradisional menggunakan bunga itu kebiasaannya diambil wanita yang baru lepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan oleh lelaki dikatakan untuk kekuatan seksual.
Dr Nazlina berkata, dalam satu artikel portal berita universiti itu bahawa penyelidikan oleh Khairunnadwa, di bawah penyeliaannya, mendapati limpa itu mampu mendetoksifikasi bahan dari tunas Rafflesia azlanii.

"Tapi proses ini juga mengecutkan limpa daripada saiz asalnya. Dengan itu ujian itu mengesahkan keupayaan tunas bunga itu. Tetapi risiko yang memberi kesan ke atas organ penting lain juga wujud, iaitu limpa," kata Dr Nazlina dalam artikel itu.

Beliau berkata, wanita yang mengamalkan meminum air dimasak dengan tunas Rafflesia selepas rawatan kelahiran perlu menimbangkan dengan serius keburukan dan kesan berbahaya ini.

Dr Nazlina berkata, kadar ketoksikan ini perlu menjadi amaran kepada orang yang mengambil "jamu" seperti ini memandangkan penggunaan bahagian Rafflesia azlanii sebagai sumber ubatan tradisional adalah tidak selamat.
"Jika seseorang mahu mengurangkan berat badan, mereka perlu mempunyai diet seimbang dan beriadah. Ini lebih berkesan dan selamat," katanya.

Dr Nazlina berkata, orang ramai juga perlu mengelak daripada merosakkan keindahan bunga Rafflesia, yang menjadi satu ikon dalam industri pelancongan di Malaysia, untuk tujuan melangsingkan badan, dan dalam proses itu membahayakan diri sendiri.

Rafflesia, yang terkenal sebagai bunga gergasi di dunia adalah tumbuhan yang jarang ditemui dari kumpulan keluarga Rafflesiaceae tetapi ia jarang dilihat di kawasan hutan hujan tropika, katanya.

Beliau berkata, ia sebenarnya parasit wajib dan tumbuhan menjalar bagi kumpulan genus Tetrastigma (Vitaceae).

Ia hidup antara dua hingga tiga tahun tetapi bunga itu hanya kembang untuk beberapa hari sebelum mengecut dan mereput, dan keunikannya dan kecantikannya menarik ramai pencinta alam, penyelidik dan pelancong dari dalam dan luar negara.

Penyelidikan mengenai penggunaan dana daripada Skim Pemulihan Rafflesia di Taman Kinabalu mendapati pulangan setahun daripada industri pelancongan eko lebih tinggi jika kawasan tanah yang sama digunakan untuk tujuan pertanian, katanya.

Sejak beberapa generasi, Rafflesia digunakan sebagai sumber pembuatan perubatan tradisional dan tunas Rafflesia boleh dibeli pada harga RM 9 hingga RM25 bergantung kepada saiznya. - Bernama

0 comments: