Followers

Saturday, April 10, 2010

RMK-10 beri keutamaan projek ‘cangkul ready’

TASEK GELUGOR: Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang akan dibentang pada Jun ini mengutamakan projek yang disifatkan sebagai “cangkul ready”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau menjelaskan projek “cangkul ready” ialah sebarang cadangan projek pembangunan yang telah melengkapi semua syarat ditetapkan termasuk mempunyai tanah.

"Dalam RMK-10 ini kita kenalkan kaedah baru supaya perkara yang sama tidak terus berlaku seperti sebelum ini iaitu banyak projek pembangunan gagal dilaksanakan kerana masalah tanah," katanya selepas majlis pecah tanah surau Permatang Sireh di Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Surau itu yang dibina dengan harga RM400,000 bagi menggantikan surau lama yang terbakar pada penghujung 2008, dijangka siap pada September ini.

Katanya, satu ketika dulu setiap kementerian diberi hanya satu peluang untuk menjalankan projek pembangunan dalam tempoh lima tahun, sekiranya gagal melengkapkan syarat ditetapkan, ia perlu menunggu lima tahun lagi.

"Tetapi dalam RMK10 kita ubah kaedah dan beri peluang cadangan sentiasa dibuka sekiranya gagal dapatkan tanah memang akan ditolak tetapi dalam tempoh setahun jika boleh selesaikan masalah tanah maka projek itu boleh diluluskan," katanya.

Selain itu, Nor Mohamed berkata, RMK10 juga memberi fokus utama kepada Wawasan 2020 untuk melahirkan sebuah negara maju tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan tradisi, nilai murni dan ciri ketamadunan yang disegani semua bangsa.
"Mahu mewujudkan sebuah negara maju dengan pendapatan tinggi tetapi dengan acuan dan pola kita sendiri tanpa meniru negara barat, boleh hidup selesa, selamat dan aman," katanya.

Katanya, keadaan hari ini juga sudah menunjukkan tanda-tanda positif dan trend pemulihan, tiada cabaran yang terlalu getir untuk dilalui dan Malaysia mempunyai laluan mudah untuk bersedia menjadi sebuah negara maju.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, masjid dan surau perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menghadapi cabaran pelbagai bentuk dari negara barat.

"Masjid dan surau boleh dijadikan tempat bagi generasi muda menjalankan pelbagai aktiviti berfaedah selain boleh diadakan motivasi," katanya. - Bernama

0 comments: