Followers

Saturday, April 10, 2010

Mesyuarat dua hala Najib, Obama sebelum sidang kemuncak nuklear

WASHINGTON: Washington membuka pintu seluas-luasnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Barack Obama sebelum mereka menyertai lebih 40 pemimpin dunia yang lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini.

Baru saja selesai menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Hanoi, Najib tiba hari ini bagi sidang kemuncak nuklear selama dua hari bermula Isnin dengan jadual padat menanti beliau, termasuk majlis makan tengah hari dengan Naib Presiden Joe Biden dan mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Amerika Syarikat (AS), Howard Berman dan beberapa ahli Kongres.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan dan pengurus dana Amerika bagi memberikan taklimat mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Malaysia baru-baru ini sepanjang lawatan seminggu itu yang turut meliputi New York.

Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaludin Jarjis berkata sambutan diberikan kepada Najib begitu luar biasa bagi seorang perdana menteri Malaysia dan itu satu petanda baik bagi dipertingkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

"Perdana Menteri adalah satu-satunya pemimpin dari Asia Tenggara yang akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Obama dan satu-satunya lagi negara dari Asia ialah China.

"Daripada apa yang kami tahu, Presiden Obama akan mengadakan perbincangan dua hala dengan pemimpin dari sembilan negara saja sepanjang sidang kemuncak itu," katanya, semalam.

Najib dan Obama dijadual mengadakan pertemuan empat mata pada Isnin di Pusat Konvensyen Walter E Washington, venue sidang kemuncak nuklear yang dihoskan oleh Obama bagi memupuk kerjasama global dalam memerangi keganasan nuklear dan negara-negara pencetus masalah.
Sejurus selepas mengadakan perbincangan dua hala itu, Najib akan menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Naib Presiden Biden untuk sekumpulan kecil tetamu.

Timbalan Setiausaha Negara AS, James Steinberg akan mengunjungi Najib juga pada Isnin.

"Jemputan Presiden Obama kepada Malaysia, khususnya kepada Perdana Menteri untuk menghadiri sidang kemuncak dunia ini adalah satu kebanggaan bagi Malaysia kerana kita bukan sebuah negara nuklear dan nampak ini satu anjakan baru dalam bukan sahaja dalam hubungan dua hala Amerika dengan Malaysia tetapi juga hubungan Amerika dengan negara-negara Islam," kata Jamaludin.

Duta Malaysia itu berkata berlaku "angin perubahan baru" di AS terhadap negara-negara Islam di bawah pentadbiran Obama, menyatakan presiden Amerika itu juga menelefon Najib pada Jun lepas untuk berbincang, antara lain mengenai krisis ekonomi dan kewangan global.

Hubungan baik antara kedua-dua pemimpin membuka ruang yang lebih baik daripada segi mengeratkan lagi hubungan dua hala, kata Jamaludin.

Pihak Malaysia juga menerima 10 permintaan bagi perbincangan dua hala dengan pemimpin-pemimpin yang turut menghadiri sidang kemuncak itu.

"Kami akan bincangkannya dengan Perdana Menteri selepas beliau tiba. Beliau mempunyai aturcara padat di sini kerana beliau juga mengambil peluang untuk memberikan penjelasan kepada sektor swasta dan organisasi perniagaan AS mengenai Model Ekonomi Baru Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini," kata Jamaludin.

Sebaik saja sidang kemuncak itu berakhir pada petang Selasa, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri majlis pelancaran "Faces of 1Malaysia", program kebudayaan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ketika berada di ibu negara AS ini, Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, bekas pegawai tinggi AS yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Negara dan perwakilan perdagangan.

Najib juga dijadual menyampaikan ucaptama di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di mana beliau akan menyentuh mengenai teras dalam kerjasama ekonomi dan juga berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani pemberontakan pada pagi Rabu.

Perdana Menteri akan memulakan misi menarik pelaburan daripada sektor swasta Amerika pada tengah hari yang sama dengan mengadakan pertemuan dengan para ketua eksekutif Coca Cola, Conoco Phillips, Intel dan Motorola.

Ia disusuli dengan dialog dengan anggota eksekutif Majlis Perniagaan AS-Asean dan Dewan Perniagaan dan Perdagangan AS.

Khamis pula, Najib akan mengadakan pertemuan peribadi dengan Senator Kit Bond yang mengetuai Dewan Perniagaan dan Perdagangan AS sebelum menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak perdagangan dan pelaburan anjuran dewan itu.

Najib juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan para pemodal dan kumpulan pemikir terpilih pada hari yang sama dan pada tengah harinya, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Richard Holbrooke, Wakil Khas AS ke Afghanistan dan Pakistan.

Perdana Menteri akan berlepas ke New York pada Khamis malam dan dijadual akan mengadakan pertemuan dengan para pemimpin perniagaan dan pengurus dana pada keesokkannya sebelum mengakhiri lawatan beliau. - Bernam

0 comments: