Followers

Friday, April 2, 2010

Kenaikan tarif elektrik tidak beri untung tambahan: TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak mendapat keuntungan tambahan jika kerajaan membenarkannya menaikkan tarif elektrik bagi menampung peningkatan harga bahan api, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh hari ini.

"Apabila harga bahan api naik, kami perlu melepaskan (kos tambahan) kepada pengguna, kerana jika tidak, kami tidak boleh bertahan," katanya kepada pemberita semasa Pemungkiman Media TNB 2010 di Port Dickson baru-baru ini.

Pada masa ini, bahan api sektor tenaga membabitkan 65 peratus gas, 28 peratus arang batu, hampir tujuh peratus hidro dan kurang 0.1 peratus diesel.

Gas ialah komoditi yang mendapat subsidi dan ditetapkan pada harga RM10.70 setiap juta metrik unit termal British (MMBtu) pada pelarasan tarif berkuat kuasa Mac 2009.

Che Khalib berkata, pada harga RM10.70 setiap MMBtu, harga gas untuk sektor tenaga Malaysia adalah di bawah harga pasaran dan pengekalan harga subsidi untuk tempoh jangka panjang dijangka tidak berlaku kerana kerajaan perlu menyalurkan lebih banyak dana untuk pemulihan ekonomi.

Tarik elektrik domestik kini dikaji semula setiap enam bulan. Pada pelarasan terakhir tarif yang dibuat pada Mac 2009, tarif elektrik dikurangkan pada puratanya sebanyak 3.7 peratus, selari dengan pengurangan 25 peratus harga minyak kepada RM10.70 berbanding RM14.31 setiap MMBtu.

Che Khalib berkata, sebarang peningkatan harga bahan api bermakna kos yang lebih tinggi untuk menjana elektrik dan perlu diperoleh semua dengan melepaskan kos yang sama kepada pengguna.
Katanya, langkah itu bukan perkara baru di Malaysia kerana formula itu sudah diperkenalkan pada 1996 namun digantung dua tahun kemudian akibat krisis ekonomi Asia.

"Kerajaan boleh melaksanakan semula formula itu pada bila-bila masa bagi menampung sebarang pelarasan harga bahan api," katanya.

Mengenai pengguna industri TNB, Che Khalib berkata kumpulan itu mampu membayar lebih dan tidak wajar menikmati perdapatan yang besar hasil daripada subsidi kerajaan.

"Kami faham mengapa kami perlu memberi subsidi kepada kumpulan berpendapatan rendah. Sebaliknya, majoriti pengguna elektrik di negara ini membabitkan industri dan mereka mampu membayar lebih. Adakah adil kerajaan menerusikan subsidi kepada industri?" katanya.

Che Khalib berkata, kumpulan berpendapatan rendah juga menikmat subsidi dalam bentuk rebat bagi mereka yang menggunakan bil elektrik RM200 dan ke bawah setiap bulan dan jaluran penggunaan asas pada kadar subsidi 21.8 sen/kWh dan kadar itu tidak dikaji semula sejak 1997. - Bernama

0 comments: