Followers

Thursday, March 4, 2010

Filipina-MILF sambung kembali rundingan damai

KUALA LUMPUR: Rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) disambung kembali di sini pagi ini dengan MILF mengemukakan cadangan dan pandangan mereka kepada panel kerajaan semasa sesi soal jawab.

Ketua Perunding Perdamaian MILF, Mohagher Iqbal, berkata mereka sudah mengemukakan cadangan dan pandangan MILF pagi ini kepada delegasi Filipina yang diketuai Pengerusi Panel Rundingan Damai Kerajaan Filipina Rafael Seguis.

"Kami telah mengemukakan (cadangan) dalam bentuk format power point ... panel kerajaan akan mengajukan kami soalan berdasarkan cadangan kami," katanya di sini hari ini.

Mohagher mengetuai delegasi lima anggota, manakala Seguis mengetuai rombongan 10 anggota bagi menyambung semula rundingan damai yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Rundingan damai terakhir yang dihoskan Malaysia diadakan Januari lalu.

Menjawab pertanyaan, Mohagher berkata mesyuarat itu diadakan dalam suasana mesra.

"Walaupun beberapa kenyataan adalah berterus-terang. Tetapi itu adalah cara perunding untuk mengemukakan isu," katanya.

Ditanya adakah beliau yakin terdapat perkembangan baru dalam rundingan hari ini, Mohagher berkata: "Buat masa ini saya tidak tahu".

Bagi tempoh 12 tahun lalu, Kerajaan Filipina dan MILF telah beberapa kali mengadakan rundingan damai untuk menamatkan konflik di selatan Filipina yang telah berlarutan selama empat dekad.

Rundingan Damai itu diaturkan oleh Malaysia sejak 2001, bertujuan menamatkan pemberontakan penduduk Islam selama empat dekad yang telah meragut 120,000 nyawa.

Pada 17 Februari, MILF mengumumkan bahawa cadangan Manila yang dilakukan semasa rundingan di Malaysia pada Januari "tidak dapat diterima" dan menjadikan perjanjian damai untuk dicapai semasa pemerintahan Presiden Gloria Macapagal Arroyo sukar.

Arroyo akan menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun. - Bernama

0 comments: