Followers

Saturday, March 13, 2010

4 syarikat terpilih pulihkan Sungai Klang

KLANG: Kerajaan negeri Selangor sudah memilih empat syarikat untuk memulakan kerja-kerja memulihkan dan projek pembangunan Sungai Klang, yang juga adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi negeri itu yang dilancarkan pada tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tiga syarikat yang terpilih untuk memulihkan sungai itu dan membangunkan kawasan sekitarnya ialah TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering Sdn Bhd, Wessex Water I-Bhd Consortium manakala DPZ Asia Sdn Bhd akan bertanggungjawab bagi perancangan dan reka bentuk projek itu. Beliau berkata demikian pada sidang media di Karnival Sungai Klang di Taman Pengkalan Batu di sini, hari ini yang turut membabitkan Larian Bandar DiRaja yang dilepaskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pagi tadi. Katanya, 37 syarikat mengemukakan cadangan pada Oktober lalu dan ketiga-tiga syarikat itu dipilih kerana pengalaman masing-masing membersihkan sungai dan melakukan pembangunan yang termasuk keupayaan kewangan.

“DPZ Asia terpilih bagi melakukan reka bentuk kerana pengalamannya mereka bentuk dan merancang projek pembangunan di Malaysia, Vietnam, China, New Zealand dan di Amerika Syarikat,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri berkeyakinan bahawa keempat-empat syarikat itu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kesemua agensi berkaitannya bagi memastikan kejayaan projek itu.

Pada peringkat awal, katanya, projek itu akan bermula di Klang dan kos pembangunannya ialah RM1 bilion dan RM1 bilion lagi diperlukan untuk membersihkan dan memulihkan sungai itu. Sejauh 80km daripada 120km panjang Sungai Klang berada di dalam negeri Selangor manakala selebihnya berada di dalam Kuala Lumpur.

Katanya, kerja-kerja peringkat pertama akan memakan masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan tetapi keseluruhan projek itu akan memakan masa 15 tahun untuk disiapkan. - Bernama

0 comments: