Followers

Wednesday, February 17, 2010

Pemuda BN hantar memorandum bantah campur tangan ahli Parlimen Australia

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini menyerahkan memorandum menyatakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap tindakan 50 Ahli Parlimen Australia yang jelas ada niat untuk campur tangan dalam hal ehwal sistem kehakiman di negara ini.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata memorandum itu menuntut supaya Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Negeri Parlimen Australia, Michael Danby menarik balik surat yang dihantar 50 ahli parlimen negara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia serta satu permohonan maaf daripada Danby bagi pihak 50 ahli Parlimen itu.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata memorandum itu juga menggesa Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd menyatakan dengan jelas bahawa pendirian kerajaan Australia tidak sama dengan pendirian 50 Ahli Parlimen negara itu.

"Malaysia adalah negara yang berdaulat. Dengan adanya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, kita tidak terima langsung apa saja usaha, apa saja tindakan yang kita anggap sebagai campur tangan daripada pihak Australia, luar negara dan asing dalam hal ehwal negara kita," katanya selepas menyerahkan memorandum itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Australia, Penny Williams di sini, hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira 15 minit itu, Khairy berkata, Williams memberi jaminan bahawa kerajaan Australia tidak ingin campur tangan dalam sistem kehakiman Malaysia dan tidak mahu membuat satu pengadilan terlebih dulu berhubung perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Pesuruhjaya Tinggi Australia itu juga memberi jaminan bahawa memorandum Pemuda BN yang mewakili NGO belia yang ada akan disampaikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia di Canberra.

"Walaupun ini tidak datang dari kerajaan Australia, tapi kita menganggap ini adalah serius sebab 50 Ahli Parlimen itu menjadi wakil rakyat kepada Australia.

"Kita tidak mahu isu ini dipolitikkan di Australia sehingga mencetuskan satu keadaan di mana campur tangan itu lebih ketara daripada apa yang kita lihat dua tiga hari lalu," katanya.

Hadir sama mengiringi beliau adalah Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pemuda MIC, T Mohan dan Ketua Penerangan Pemuda BN, Datuk Reezal Merican.

Kira-kira 500 individu terdiri daripada Pemuda Umno, Pemuda MIC dan ahli NGO belia menyertai perarakan aman yang bermula dari sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng.

Makkal Sakhti turut menyerahkan memorandum sebagai bantahan terhadap campur tangan itu dengan Presidennya, R S Thanenthir, berkata akan ada lebih banyak bantahan jika Ahli Parlimen Australia itu tidak menghentikan campur tangan dalam sistem kehakiman Malaysia.

"Kami mahu memastikan mereka melakukan ini buat kali terakhir. Kami akan terus bantah jika mereka tidak berhenti di sini. Ini ingatan keras kepada semua Ahli Parlimen Australia," katanya.

Memorandum itu menegaskan, Makkal Sakhti menggesa Ahli Parlimen Australia supaya menahan diri mereka daripada terus campur tangan kerana rakyat Malaysia tidak campur tangan dengan urusan undang-undang dan mahkamah Australia.

"Kami sentiasa menghormati dan menghargai hubungan baik dengan negara anda dan kami tidak ingin merosakkan hubungan yang sedia terjalin," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Muktar Radin, berkata Ahli Parlimen BN bersedia bertemu dengan mana-mana ahli parlimen dari negara luar untuk menjelaskan isu perbicaraan Anwar itu.

Katanya, tuduhan terhadap Anwar dilakukan oleh individu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, bukannya dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia.

"Kita meminta dengan sekeras-kerasnya. Mereka tidak ada hak mencampuri negara Malaysia. Mana-mana pihak yang cuba mencampuri, kita akan memberi tentangan yang tidak ada hentinya. Kita adalah negara berdaulat.

"Mana-mana pihak berhak untuk menyuarakan (pendapat), tapi pada kita apa yang dikatakan ialah tempat dan masa yang salah," katanya.

Beliau yang mewakili seramai 140 Ahli Parlimen BN tiba di pekarangan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia kira-kira jam 11.05 pagi untuk menghantar memorandum bantahan berkenaan.

Turut sama mengiringi beliau adalah Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron; Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Datuk Ismail Kassim (Arau). - Bernama

0 comments: