Followers

Tuesday, January 19, 2010

Tragedi perahu naga: Faktor tidak pakai jaket keselamatan jadi persoalan utama

GEORGETOWN: Tragedi perahu naga terbalik dan mengorbankan enam nyawa iaitu lima nyawa pelajar dan seorang guru dari Sekolah Tinggi Chung Ling, di kawasan perairan Lebuh Macallum di sini semalam, mengingatkan kita dengan pepatah "Beringat sebelum kena, berjimat sebelum berbelanja".

Persoalan utama dalam tragedi itu ialah kenapa tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot?

Ia menjadi tanda tanya pelbagai pihak kerana tragedi lemas yang disebabkan penumpang tidak memakai jaket keselamatan dalam kejadian bot karam atau terbalik bukanlah satu insiden luar biasa atau perkara baru di negara ini.

Jelas, tidak kurang daripada lima kes seumpama itu pernah berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, termasuklah tragedi tahun lalu di Teluk Rumania, Johor sehingga mengorbankan sembilan nyawa warga Pakistan.

Namun insiden seumpamanya seolah-olah tidak pernah memberi pengajaran kepada sesiapa pun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata menurut laporan yang diterima, ramai di antara pelajar yang menjalani latihan mendayung itu tidak memakai jaket keselamatan walaupun sepatutnya mereka wajib memakainya.

Katanya, faktor keselamatan tidak harus dipandang ringan dan polis akan menyiasat punca kejadian itu.

"Kita mendapat maklumat ramai pelajar tidak memakai jaket keselamatan termasuk yang ditemui mati lemas dan kita akan siasat perkara ini," katanya di sini, semalam.

Seorang mangsa yang terselamat, Kuah Zi Xun, 17, mengakui kebanyakan mereka sememangnya tidak memakai jaket keselamatan dan mereka mengetahui bahawa jaket itu tidak cukup untuk semua pendayung.

"Kami tidak disuruh pakai jaket keselamatan kerana kami hanya berlatih," katanya.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Danny Law Heng Kiang yang melawat tempat kejadian, berkata beliau dimaklumkan bahawa pelajar terbabit tidak dibekalkan jaket keselamatan kerana menganggap ia hanyalah sesi latihan dan bukannya berlumba.

Katanya, sesi latihan itu diuruskan kelab mendayung sekolah berkenaan dan sekolah itu sendiri yang memilih tempat latihan tersebut.

Ketika ditanya mengenai kenapa pelajar terbabit tidak memakai jaket keselamatan, Pengetua sekolah itu, Chuah Yau Chou, cuma menjawab: "Semuanya masih dalam siasatan".

Pengarah Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohammad ketika ditemui berkata, pengurusan sekolah itu didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan untuk menganjurkan aktiviti kokurikulum di luar sekolah kerana tidak memaklumkannya kepada pasukan keselamatan.

Sebenarnya, bot diatas air boleh terbalik atau karam atas pelbagai faktor seperti terlebih muatan, dipukul ombak ataupun terbakar dan disebabkan risiko itu boleh berlaku pada bila-bila masa, nyawa penumpang harus diberi keutamaan dengan mewajibkan mereka memakai jaket keselamatan.

Tragedi yang meragut nyawa guru dan pelajar Sekolah Tinggi Chung Ling itu adalah ulangan satu lagi episod sedih kerana kematian pelajar dan guru itu dapat dielakkan sekiranya mereka memakai jaket keselamatan. - Bernama

0 comments: