Followers

Monday, January 18, 2010

Najib mahu syarikat Malaysia bertaraf dunia

ABU DHABI: Datuk Seri Najib Razak berkata syarikat Malaysia, termasuk yang terbabit dalam pembinaan, mesti terus meningkatkan prestasi dan dan menerima pakai amalan terbaik dalam menawarkan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.

"Kita mesti terus menunjukkan bahawa kita boleh menerima pakai amalan terbaik, sama ada dalam menawarkan kualiti kerja yang dilakukan, harga, menjadisangat kompetitif, dan mampu menyediakannya mengikut tempoh yang ditetapkan kepada kita.

kata Perdana Menteri sempena penyerahan bangunan yang dibina syarikat Malaysia di Marina Square di Pulau Reem kepada Tamouh Investments, syarikat pembangunan hartanah yang berpejabat di Abu Dhabi semalam.

"Perkara utama yang saya mahu sampaikan pada majlis ini ialah saya sangat bangga terhadap kerja yang dilakukan oleh syarikat Malaysia di sini.

"Saya berharap ia adalah permulaan bagi banyak lagi pembabitan syarikat Malaysia di sebelah dunia di sini dan melepasinya," kata Najib yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menyaksikan majlis penyerahan itu adalah sebahagian daripada program Najib di Abu Dhabi, selain mengunjungi Masjid Besar Sheikh Zayed.

Perdana Menteri dan rombongan turut melawat Litar Yas Marina sepanjang 5.554 kilometer, lokasi perlumbaan kereta Formula One sulung Abu Dhabi akhir tahun lalu.

ISZL Consortium yang membabitkan IJM Construction Sdn Bhd, Sunway Builders Sdn Bhd, Zelan Holdings Sdn Bhd dan LFE Engineering Sdn Bhd, mendapat kontrak melaksanakan Pakej C dan E1 di Plot 1 skim pembangunan Pulau Reem itu.

Pakej C meliputi lima menara kediaman, sebuah podium, villa serta parkirkereta. Kontrak terbabit bernilai 1.5 bilion dirham dan dimulakan pada 2006.

Menerusi bangunan menara sebagai asas, Najib berkata: "Saya berharap syarikat Malaysia akan terdorong bahawa kita berupaya untuk bersaing dengansyrikat lain, kita berupaya menyiapkan bangunan yang hebat."

"Melihat bangunan ini, sekurang-kurangnya dari luar, saya melihatnya seperti bangunan bertaraf dunia. Tahniah kepada semua syarikat di sini kerana menyiapkan bangunan bertaraf dunia ini," katanya.

Perdana Menteri menyuarakan harapan supaya firma Malaysia akan terus membanggakan negara pada masa depan.

Projek pertama yang dimajukan oleh Tamouh di pulau itu, Marina Square, adalah pembangunan bersepadu yang membabitkan 14 menara kediaman, sebuah bangunan pejabat, ruang runcit, sebuah hotel, blok apartmen servis dan marina.

Menerusi sejumlah 3,440 unit kediaman, Marina Square akan mempunyai penghuni seramai 8,500 apabila diduduki menjelang suku ketiga 2010.

Sementara itu, SPK Bina Puri Joint Venture berkata ia sudah menyiapkan reka bentuk dan kontrak pembinaan Pakej B pada harga kontrak 490.7 juta dirham.

Ia membabitkan apartmen kediaman, podium, parkir kereta selain rumah bandar.

SPK Bina Puri Joint Venture terdiri daripada Pembinaan SPK Sdn Bhd dan BinaPuri Holdings Bhd, dengan SPK mengetuai pembinaan menerusi 70 peratus kepentingan. - Bernama

0 comments: