Followers

Monday, January 18, 2010

Keluarga mangsa perahu naga cadang saman sekolah

GEORGETOWN: Bapa seorang daripada mangsa perahu terbalik bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sekolah Tinggi Chung Ling yang didakwanya mengabaikan keselamatan anaknya ketika latihan mendayung perahu naga anjuran sekolah itu semalam.

Ching Chin Teik, 52, bapa kepada Jason Ch'ng, 17, berkata kawasan yang dijadikan tempat berlatih iaitu Persisiran Pantai Gat Lebuh Maccalum adalah kawasan berbahaya dan laluan bot besar.

"Saya tidak sangka pihak sekolah mengabaikan keselamatan pelajar dengan berlatih di Persisiran Pantai Gat Lebuh Maccalum sedangkan kita tahu tempat itu bukan kawasan yang sesuai untuk berlatih kerana berbahaya.

"Kami sekeluarga selama ini mempertaruhkan 100 peratus keselamatan Jason kepada pihak sekolah tetapi mereka abaikan, jadi saya tidak menolak kemungkinan akan ambil tindakan undang-undang terhadap sekolah," katanya yang masih sedih dengan kejadian itu.

Beliau berkata, Jason adalah anak bongsu dari dua beradik.

Ching berkata, kehilangan Jason sangat dirasai keluarga terutama kakaknya, Jenny Ch'ng, 19, kerana mereka sangat rapat dan saling membantu dalam pelajaran.

Mayat Jason yang ditemui semalam akan dikebumikan di tanah perkuburan Kwangtung Teng Chow di sini, esok.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi semalam, perahu naga yang dinaiki 18 orang iaitu seorang guru, dua jurulatih dan 15 pelajar terbalik dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang, menyebabkan seorang guru dan lima pelajar mati lemas.

Kawasan itu sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan dan pelajar terbabit memulakan latihan pada jam 8 pagi.

Seorang nelayan yang ditemui, Aznan Bakar berkata, beliau sering ternampak pasukan perahu naga sekolah itu berlatih di kawasan berkenaan dan hairan mereka memilih lokasi yang berbahaya itu.

Beliau berkata, kawasan itu agak bahaya untuk bot kecil kerana laluan di situ adalah tempat kapal memunggah barang dan golongan nelayan tidak melintas di kawasan itu.

"Saya pernah nampak mereka berlatih berdayung dan kami hairan kerana mereka memilih tempat itu tetapi kami ingatkan mungkin ada pihak yang memantau mereka," katanya di sini. - Bernama

0 comments: