Followers

Sunday, December 20, 2009

Kerajaan tidak tarik subsidi gula

BERA: Kerajaan tidak akan menarik sepenuhnya subsidi gula dalam masa terdekat bagi mengelak rakyat menanggung bebannya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tanpa subsidi, gula yang dijual pada harga RM1.45 sekilogram pada masa ini akan meningkat kepada sekitar RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram mengikut harga pasaran dunia.

"Buat masa sekarang, kerajaan tidak akan atau belum bercadang untuk menarik balik subsidi gula di mana 70 peratus gula dibeli dengan harga lama, manakala 30 peratus lagi harga semasa," katanya selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang UPSR dan bantuan persekolahan Parlimen Bera di sini, hari ini.

Kerajaan, katanya terpaksa membelanja lebih RM1 bilion setahun bagi mengimport gula termasuk dari Thailand, Australia dan Brazil bagi menampung keperluan gula tempatan.

Kilang gula di Perlis pula tidak mampu menampung permintaan pengguna yang terlalu banyak, katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, rakyat seharusnya mengawal pengambilan gula bagi mengelak pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis.

Katanya, mengikut bancian Kementerian Kesihatan, dianggarkan 1.2 juta rakyat di negara ini akan menghidap penyakit kencing manis menjelang tahun 2011 dan ia dijangka meningkat kepada 2.6 juta orang menjelang tahun 2030, jika penggunaan gula tidak dikurangkan mulai sekarang. - Bernama

0 comments: