Followers

Sunday, December 20, 2009

Kerajaan utamakan tingkat prasarana di luar bandar: Mohd Shafie

SANDAKAN: Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM12 bilion kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, berkata kementeriannya menerima peruntukan tertinggi berbanding dengan kementerian lain yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat di kawasan luar bandar.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak kerana menyedari keperluan penduduk di kawasan itu.

"Saya gembira dengan perhatian yang diberikan oleh Najib dan akan memastikan usaha meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat dijayakan dengan berkesan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Umno Libaran di sini, malam tadi.

Bagi mencapai sasaran itu, Mohd Shafie berkata, beliau telah menggariskan empat sektor yang akan diberikan keutamaan untuk meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar.

Katanya, ia membabitkan penyediaan bekalan air, jalan raya, bekalan elektrik dan penyediaan perumahan kepada rakyat termiskin.

Menurutnya, empat sektor itu adalah elemen yang penting bukan sahaja dapat membantu penduduk di luar bandar menjalani kehidupan harian mereka dengan sempurna tetapi mampu membantu mereka meningkatkan sumber ekonomi.

"Kerajaan ingin memastikan nasib rakyat di negara ini terbela tanpa mengira di mana mereka berada termasuklah mereka yang berada di luar bandar," katanya. - Bernama

0 comments: