Followers

Saturday, November 28, 2009

Jumlah mangsa tragedi bot karam di Kudat kini 28 orang

KUDAT: Jumlah mangsa tragedi bot karam di sini kini dilaporkan seramai 28 orang, kata Ketua Polis Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, hari ini.

Beliau berkata angka mangsa yang hilang kini meningkat kepada 12 orang daripada empat orang seperti dilaporkan semalam.

"Angka terbaru ini mengikut maklumt yang kita terima daripada keluarga yang membuat laporan polis," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kudat di sini.

Katanya angka mangsa terselamat masih 13 orang manakala tiga mangsa yang meninggal sudah ditemui.

"Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi seperti polis Marin, Unit Udara polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Darat," katanya.

Beliau berkata pencarian tertumpu di perairan dekat Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin kira-kira 20 batu nautika dari Kudat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri, yang juga Ahli Parlimen Kudat, berkata beliau akan meminta laporan daripada semua agensi terlibat mengenai kejadian itu bagi mencari jalan memperbaiki perkhidmatan feri antara Pulau Banggi dan Kudat.

"Pengangkutan feri amat penting terutamanya bagi penduduk pulau itu untuk berulang-alik ke pekan Kudat.

"Kita perlu pastikan perkhidmatan feri mencukupi dan penyelengaraan feri yang berterusan kerana pengangkutan laut adalah pengangkutan utama penduduk pulau itu dan akan kekal begitu untuk tempoh yang lama di masa hadapan," katanya.

Abdul Rahim diberi taklimat oleh Dawi mengenai kejadian itu dan sempat menemui mangsa yang terselamat Yahya Othman, 61, yang turut berada di ibu pejabat polis berkenaan.

Pada kejadian petang Khamis lepas, sebuah bot yang membawa penumpang dari jeti Kudat ke Pulau Banggi karam kira-kira jam 5.30 petang selepas sejam bertolak dari jeti Kudat.

Kebanyakan penumpang merupakan anggota sebuah keluarga iaitu seramai 21 orang dari Papar yang pulang ke Pulau Banggi untuk merayakan Hari Raya Aidiladha serta beberapa penumpang lain. - Bernama

0 comments: