Followers

Friday, November 27, 2009

Konsisten dalam promosikan perubahan iklim, elak wujud sekatan perdagangan, pelaburan: Najib

PORT OF SPAIN: Datuk Seri Najib Razak, berkata usaha mempromosikan perubahan iklim perlu konsisten dengan mengekalkan kebebasan dan keterbukaan perdagangan serta pelaburan global, tanpa mewujudkan sekatan baru kepada perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri turut menggesa kepada perubahan dalam sistem perindustrian, model perniagaan, andaian ekonomi, peraturan pasaran dan kerangka tadbir urus bagi menangani cabaran yang dibawa oleh kemerosotan alam sekitar.

"Kita tidak boleh beroperasi dalam keadaan seperti biasa. Kerajaan dan sektor swasta perlu melakukan perubahan dalam cara kita beroperasi," kata beliau dalam ucaptamanya kepada Majlis Perniagaan Komanwel di sini, semalam.

Beliau berkata, pelbagai komitmen yang ada di bawah perdagangan perlu ditangani dengan cara yang komprehensif dalam menguruskan agenda pembangunan negara-negara membangun selain langkah untuk mengurangkan perubahan iklim.

"Kita perlu berusaha bagi memperkukuhkan pembangunan ekonomi di negara-negara ini. Oleh itu, sebarang piawaian terhadap alam sekitar perlu konsisten dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan tidak digunakan sebagai samaran untuk fahaman perlindungan," katanya.

Najib menyampaikan ucapan bertemakan "Pendekatan Baru ke arah Pembangunan Lestari: Langkah Seterusnya" menjelang perasmian Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) oleh Ratu Elizabeth II, hari ini di ibu negara pulau Caribbean, Trinidad dan Tobago.

Beliau diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bagi menghadiri sidang kemuncak Ketua-Ketua Komanwel dari 27 hingga 29 November, yang akan dihadiri 53 pemimpin negara bekas jajahan British.

Keahlian Komanwel termasuk 1.8 bilion orang, atau 30 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Lebih separuh daripada mereka adalah golongan muda berusia 25 tahun atau ke bawah.

Dalam ucapannya, Najib menegaskan, bahawa negara-negara maju mesti menjadi peneraju dan menunjukkan komitmen yang lebih tegas ke arah pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GSG).

"Mereka seharusnya turut menyediakan bantuan kepada negara-negara membangun daripada segi pembiayaan, mempermudahkan pemindahan teknologi dan pembinaan sahsiah bagi membantu menyepadukan proses pengurangan serta usaha menyesuaikan perubahan iklim ke dalam projek pembangunan," katanya.

Mengulas sektor swasta pula, beliau berkata, mereka seharusnya membina komponen kelestarian dalam strategi perniagaan mereka.

"Saya percaya hanya syarikat yang membangunkan produk dan perkhidmatan yang menangani cabaran global seperti bekalan dan akses tenaga, perubahan iklim, tekanan ke atas ekosistem, atau air, akan bertapak untuk jangka panjang," katanya.

Najib turut berkongsi dengan hadirin mengenai pengalaman Malaysia dalam menjayakan matlamat pembangunan lestari, antara lain menerusi dana berjumlah RM1.5 bilion (AS$430 juta) yang diwujudkan oleh kerajaan bagi menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat yang membekalkan dan menggunakan Teknologi Hijau.

Perdana Menteri berkata, bagi Malaysia, bergerak ke arah pasaran lebih hijau dapat membawa manfaat seperti penjimatan ke atas tukaran wang asing, meningkatkan daya saing industri, perluasan pasaran eksport, peluang baru pekerjaan dan persekitaran yang lebih baik.

Dengan memberikan contoh, beliau berkata, sehingga Jun 2009, Malaysia menarik hampir RM12 bilion pelaburan dalam industri ''solar photo-voltaic'' menerusi pelaburan langsung asing.

Sementara itu, Najib menghadiri majlis jamuan bagi meraikan beliau anjuran Sunway Construction (Caribbean) Limited, semalam.

Sunway adalah syarikat Malaysia pertama yang meneroka sektor pembinaan di Trinidad dan Tobago, negara kepulauan paling selatan di Caribbean di perairan timur laut Venezuela.

Beliau dijadual menghadiri majlis perasmian CHOGM pada Jumaat selepas menunaikan solat sunat Aidiladha. - Bernama

0 comments: