Followers

Friday, November 27, 2009

Proton Exora masuki pasaran Thailand minggu depan

BANGKOK: Proton Holdings Bhd dijangka melancarkan model pertama kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora di pasaran Thailand ketiak Ekspo Motor Antarabangsa Thailand, minggu depan.

Pengurus Besar (Operasi) Phranakorn Auto Sales, Apichart Wangsatorntanakhun, berkata berdasarkan maklum balas awal dari pihak media dan pakar industri, mereka mengharapkan sambutan baik dari pembeli tempatan.

"Kami membawa lebih 12 wartawan untuk menguji Exora di Malaysia. Kenderaan itu menerima reviu cemerlang dari media serta mereka yang mengadakan perbincangan dengan kami dan melihat kenderaan itu di pusat pameran kami,” katanya di sini, hari ini.

Menurut ulasan akhbar harian ''The Nation'' hari ini, model Exora mempunyai pengendalian yang baik dan pemanduan yang seimbang dalam kelasnya berserta hiasan dalaman serba guna dan nilai baik bagi pengangkutan keluarga berbanding kereta MPV saiz kecil Toyota Avanza dan Honda Freed yang lebih mahal.

Proton memasuki pasaran Thailand yang dikuasai pengeluar kenderaan Jepun pada akhir 2007 dengan mengambil kesempatan duti import yang rendah iaitu lima peratus yang dikenakan mengikut perjanjian kawasan perdagangan bebas Asean (Afta).

Phranakorn dilantik sebagai pengedar rasmi kenderaan keluaran Proton di Thailand.

Menurut Apichart, harga kompetitif Exora yang setanding dengan kualiti, rekaan dalaman dan pelbagai aksesori seperti kerusi sarung kulit dan perakam DVD akan membolehkan ia bersaing dengan model MPV lain dalam pasaran.

Katanya, harga MPV buatan Malaysia yang pertama itu iaitu model manual 1.6cc atau jenis automatik dalam lima warna akan dijual antara Baht 699,000 (RM71,320) hingga Baht 799,000 (RM81,522).

Menurutnya, sejak Proton memasuki pasaran sengit Thailand, syarikat Malaysia itu sudah menjual lebih 7,000 kereta dengan model utamanya ialah Savvy.

Mengulas sasaran jualan, Apichart berkata, syarikat itu meletakkan sasaran tinggi tetapi enggan menyatakan bilangannya.

"Pada keseluruhannya, kami harap untuk memperoleh 900 tempahan bagi semua jenis model Proton pada pameran motor ini. Selain itu, kami menawarkan premium insuran percuma dan sarung kulit kerusi percuma untuk pembeli kereta Savvy," katanya.

Tahun lalu, Proton, yang mempunyai 35 wakil penjual di seluruh Thailand, menerima 863 tempahan semasa pameran tersebut dengan jumlah pengunjung mencecah 1.5 juta orang dan 14,000 tempahan direkodkan.

Selain Savvy, model lain yang terdapat di sini ialah Neo, Gen 2, Persona dan Persona CNG. - Bernama

0 comments: