Followers

Tuesday, November 24, 2009

Lima 09: Airbus pamer tiga pesawat baru

ALOR SETAR: Airbus, syarikat pengeluar pesawat terkemuka yang berpangkalan di Perancis akan mempamerkan tiga pesawat baru serba canggih keluarannya pada Pertunjukan Angkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2009 mulai Selasa depan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, antara yang akan dipamerkan ialah model pesawat A350 XWB yang sedang dibangunkan.

Ia adalah pesawat dengan fiuslaj (rangka utama) paling lebar dalam saiz kategori sederhana dan menawarkan tahap penggunaan minyak 25 peratus lebih rendah, berbanding pesawat bersaiz sama dalam perkhidmatan ketika ini.

"Pesawat itu dipilih oleh AirAsia X bagi memenuhi keperluan penerbangan jarak jauh masa depan dan syarikat itu mengesahkan pesanan sebanyak 10 buah pesawat A350 XWB.

"Bagi pasaran kargo, pula Airbus akan memperagakan model pesawat fret A330-200F yang mampu membawa fret seberat 64 tan bagi jarak penerbangan sehingga 4,000 batu nautika.

"Versi terbaru pesawat itu sedang menjalani ujian penerbangan dan akan mula berkhidmat tahun depan," kata kenyataan itu.

Selain itu, bagi bidang ketenteraan, Airbus akan mempamerkan model baru pesawat A400M yang dimajukan anak syarikatnya, Airbus Military.

"Ia akan menjadi pesawat pengangkutan paling moden dan serbaguna dalam sejarah yang menggabungkan pelbagai keupayaan taktikal, strategik dan logistik.

"Malaysia adalah antara pelanggan bagi pesawat ini," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut orang ramai akan berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat model keratan A380 berskala 1/20 yang memperlihatkan susun atur dalaman umum bagi pesawat penumpang terbesar di dunia itu.

Pesawat komersial itu kini digunakan oleh empat syarikat penerbangan ke 12 destinasi di seluruh dunia dan setakat ini, Airbus mendapat 202 pesanan daripada 17 pelanggan.

Antara syarikat yang menempah pesawat A380 itu, ialah Penerbangan Malaysia (MAS) yang dijangka menerima pesawat pertamanya pada separuh kedua 2011.

0 comments: