Followers

Thursday, November 5, 2009

Pasukan pemantau H1N1 ditubuh di setiap negeri hadapi gelombang kedua

PUTRAJAYA: Pasukan pemantau Influenza A (H1N1) diwujudkan di setiap negeri bagi mencegah gelombang kedua wabak itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pasukan itu yang diterajui Bahagian Kawalan Penyakit akan memantau situasi setiap hari bagi mengesan jangkitan penyakit itu.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Hari Inovasi kementerian di sini hari ini, Liow berkata jumlah kes H1N1 berkurangan dengan ketara daripada 400 hingga 500 kes sehari kepada 20 hingga 30 kes.

"Pada hari biasa kami juga akan menggerakkan sistem pemantauan ini. Maka dengan ini kita akan tahu jumlah kes selesema dan batuk yang perlu diberi perhatian serius.

"Kita mempunyai banyak jenis selesema. Semua ini memerlukan pemantauan, data, pengawasan. Jadi kami akan memantau perkara ini dengan teliti," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata Hari Inovasi akan menjadi acara tahunan kementerian itu mulai tahun ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya aspek inovasi diberi penekanan dalam sektor awam.

Beliau juga berkata, warga kementerian yang terbabit dalam sebarang penyelidikan dan inovasi bukan sahaja diperlukan di makmal, agensi atau institusi, tetapi juga akan menyumbang ke arah kemajuan global.

"Walau bagaimanapun, tidak semua hasil penyelidikan atau pun inovasi yang dihasilkan sesuai diguna pakai di dalam negara. Di sinilah berlakunya proses pemindahan teknologi dan bermulanya proses kerjasama antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Pada majlis itu, Hospital Tampin dan Klinik Kesihatan Penampang meraih Anugerah Kualiti Perkhidmatan Kaunter manakala Anugerah Kualiti Kumpulan Meningkat Mutu Kerja bagi kategori teknikal dan pengurusan masing-masing diterima oleh Pejabat Pergigian Daerah Seberang Perai Utara, Butterworth dan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Hospital Jelebu menerima Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan manakala Anugerah Kualiti Laman Web dimenangi oleh Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. - Bernama

0 comments: