Followers

Thursday, November 5, 2009

Pindaan Akta DBP elak bahasa rojak

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dibawa ke kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan bagi memberikan penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, draf pindaan Akta DBP 1959 itu sedang disemak oleh Penasihat Undang-undang Kementerian Pelajaran.

"Bahasa rojak kini semakin menggerunkan kita, saya semakin risau dengan masalah ini, dan melihat kepada penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.

"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharap keadaan tersebut berubah," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kualiti DBP di sini, hari ini.

Mohd Puad melahirkan rasa dukacita kerana masyarakat kurang memberikan komitmen dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu termasuklah sambutan dingin yang ditunjukkan mereka sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan, bulan lalu.

"Kita mengharapkan sebelum akta tersebut dipinda sepenuhnya adalah penting untuk kita melihat apa yang perlu dibuat segera terhadap perancangan tenaga kerja, program dan projek DBP bagi membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya. - Bernama

0 comments: