Followers

Saturday, October 31, 2009

Pelajar Malaysia diperalat sindiket pemalsuan kad kredit

CHENNAI: Tiga pelajar perempuan Malaysia didakwa telah diperalatkan oleh satu sindiket pemalsuan kad kredit yang diketuai seorang lelaki Sri Lanka untuk membeli barangan mahal di bandar raya ini.

Pelajar terbabit yang dipercayai mengikuti kurusus dalam bidang persolekan di beberapa kolej di sini, bagaimanapun telah pulang ke Malaysia beberapa bulan lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Chennai (Bahagian Jenayah Khas), C Sridhar, berkata kegiatan jenayah mereka itu terbongkar selepas polis Chennai menangkap lelaki berusia 25 tahun itu yang kini menjadi warga negara Kanada.

"Ketiga-tiga pelajar perempuan itu diperalatkan ketua sindiket berkenaan bagi membeli barang kemas dan telefon bimbit bernilai hampir 50 lakhs (RM500,000). Bagi setiap pembelian, pelajar terbabit diupah kira-kira 5,000 rupiah India (RM500).

"Gadis-gadis ini sah menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Kami sedang mengenal pasti nama sebenar, alamat dan nama kolej mereka. Sebaik saja mendapat semua maklumat ini, kami akan tulis kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan mereka untuk menyiasat gadis terbabit," katanya.

Sementara itu, Times of India melaporkan bahawa dalam menjalankan kegiatannya, lelaki warga Kanada itu memasang kamera pengintip pada tas tangan gadis terbabit bagi meninjau kedai yang boleh dijadikan mangsa dan membuat pemantauan melalui televisyen mini di dalam keretanya serta memberi arahan kepada mereka melalui telefon bimbit.

"Apabila berada di dalam kedai, mereka akan diberitahu barangan yang patut dibeli dan menggunakan kaunter pembayaran yang dikendalikan remaja lelaki, yang selalunya tidak begitu teliti tentang kad kredit yang digunakan," kata seorang pegawai polis Chennai yang dipetik akhbar berkenaan.

Selain lelaki itu, polis Chennai juga menahan seorang warga Singapura dan beberapa warga India kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pemalsuan kad kredit yang begitu licik di selatan India.

Setelah disoal siasat, lelaki itu memberitahu polis bahawa kumpulan terbabit menjalankan kegiatan jenayah mereka dengan menggunakan kad kredit kosong milik bank Malaysia, tetapi tidak mendedahkan mereka yang menjadi orang perantaranya di Malaysia.

Ketua sindiket itu berkata, dia kemudian mencetak nama pada kad kredit kosong yang diperoleh itu di rumah sewanya di Porur, sebuah kawasan di pinggir Chennai. - Bernama

0 comments: