Followers

Saturday, October 31, 2009

2,000 CCTV akan dipasang di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,000 kamera televisyen litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Iskandar Malaysia dengan kos berjumlah RM41.4 juta menjelang akhir tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, pemasangan kamera itu yang terkandung dalam Pelan Induk Keselamatan dan Perlindungan Iskandar Malaysia bermatlamat menjadikan koridor itu sebagai Bandar Selamat sekaligus menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan indeks jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir tahun depan.

"Sebagai sebuah kawasan pembangunan futuristik, Iskandar Malaysia mesti meletakkan soal keselamatan dan ciri-ciri Bandar Selamat sebagai perkara utama. Ini membawa impak dan kesan langsung kepada kepercayaan pelabur, pelancong, warga asing dan rakyat negara ini sendiri untuk hidup aman dan selamat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan dan peralatan Balai Polis Danga Bay, di sini, hari ini.

Selain CCTV, katanya, turut diberi penekanan dalam pembangunan koridor itu adalah penempatan polis bantuan yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM7 juta serta 138 Pos Komuniti Polis dengan kos RM55 juta.

Beliau turut meminta lebih banyak syarikat swasta tampil membantu kerajaan dengan menyediakan kemudahan termasuk balai polis komuniti, CCTV, balai polis bergerak dan kereta peronda di kawasan perumahan yang dibangunkan.

Sambil memuji langkah Danga Bay Sdn Bhd yang menyediakan Balai Polis Danga Bay, beliau berkata inisiatif itu patut dicontohi syarikat swasta lain dalam melaksanakan tanggungjawab korporat sosial yang menjurus kepada usaha memperkasakan keselamatan komuniti setempat.

Balai Polis Danga Bay yang beroperasi di rumah tradisional, Rumah Limas dikendalikan seorang anggota berpangkat sarjan dan dua anggota sokongan bersama tiga anggota dari bit polis.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff; dan Pengerusi Danga Bay Sdn Bhd, Datuk Dr Shahir Nasir.

Mengulas perpecahan dalam parti pembangkang, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, perkara itu menunjukkan bukan mudah bagi sesebuah parti untuk melaksanakan pemerintahan dengan cekap.

"Ini membuktikan memang mudah untuk kita tuding jari lihat kelemahan orang lain. Tapi bila diberi peluang untuk perintah lima negeri, diberi sokongan dan diberi sedikit kuasa akhirnya apa yang berlaku kepada mereka (pembangkang) jauh lebih buruk daripada apa yang mereka tuduh Barisan Nasional (BN) lakukan sebelum ini.

"Mereka tuduh Umno dan BN sebelum ini rakus, tamak dan sombong tetapi apabila mereka mentadbir sebahagian negeri, mereka tahu itu bukan perkara mudah dan mereka sendiri tidak dapat melakukannya," katanya. - Bernama

0 comments: