Followers

Saturday, October 24, 2009

Asean mulakan rundingan dengan rakan dialog

HUA HIN (Thailand): Sepuluh negara anggota Asean menyambung kembali rundingan tahunan dengan empat rakan dialog utamanya di sini hari ini, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai mekanisma untuk meningkatkan hubungan, meningkatkan perdagangan serantau dan kerjasama kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba di sini malam tadi selepas membentang Bajet 2010 di Dewan Rakyat, menyertai rakan sejawatannya dari lain-lain negara Asean untuk Retreat Pemimpin Asean di Hotel Dusit Thani.

Najib juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun yang baru Yukio Hatoyama dan Presiden Bank Pembangunan Asia Haruhiko Kuroda.

Pemimpin Asean itu akhirnya mengadakan mesyuarat dengan rakan dialog selepas ia ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

Sidang Kemuncak yang dirancang untuk diadakan dengan China, Jepun, Korea Selatan dan India, dan juga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang turut membabitkan Australia dan New Zealand, tidak dapat diadakan pada Sidang Kemuncak Ke-14 Asean pada Februari lalu disebabkan oleh komitmen domestik negara-negera berkenaan.

EAS April lalu pula terpaksa dibatalkan apabila penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu venue mesyuarat di Pattaya, semasa pemimpin-pemimpin dari negara berkenaan sudah tiba untuk memulakan persidangan di tempat itu.

Perdana Menteri Thailand yang juga tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-15 Abhisit Vejjajiva mengetuai lain-lain pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak ke-12 Asean China, untuk berbincang dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao.

Menurut para pegawai yang berkaitan, fokus mesyuarat dengan negara yang memiliki pembangunan ekonomi terpantas dunia dan rakan dagang yang penting itu, bertumpu kepada penubuhan Dana Asean-China Untuk Kerjasama Pelaburan, dan Kredit Komersial; di mana China bersetuju untuk memberi sumbangan US$10 bilion (US$1 = RM3.38) dan US$15 bilion masing-masing kepada inisiatif itu.

Pemimpin itu juga akan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman mengenai penubuhan Pusat Asean-China, MoU mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam bidang Standard, Peraturan Teknikal dan Penilaian Penyesuaian, serta MoU mengenai Kerjasama Bidang Harta Intelek.

Pemimpin-pemimpin Asean itu kemudiannya akan berpeluang menemui Yukio yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun buat pertama kali, di mana beliau dijangka memberi penerangan lebih lanjut mengenai rancangannya kepada negara-negara di Asia Timur untuk menubuhkan Komuniti Asia Timur.

Mesyuarat dengan Korea Selatan dijangka akan menyentuh mengenai kerjasama sserantau, antara lain berhubung inisiatif ''Low Carbon Green Growth''.

Sidang Kemuncak ke-tujuh Asia-India pula berlangsung dua bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Barang-barang Dagangan, yang membawa kepada semakan semula sasaran perdagangan dua hala kepada US$70 bilion pada tahun 2011. - Bernama

0 comments: