Followers

Saturday, October 24, 2009

Yayasan IJN perlu dana RM3 juta setahun untuk golongan kurang mampu

KUALA LUMPUR: Yayasan Institut Jantung Negara memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta setiap tahun bagi menampung kos rawatan dan pembedahan bagi pesakit jantung kronik dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kutipan Derma, Datin Julini Mohd Ali, berkata dana itu diperlukan bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.

"Untuk 2009 yayasan ini berjaya memberi bantuan kepada 44 pesakit jantung kronik melibatkan pembiayaan berjumlah RM1 juta. Kami turut menyalurkan dana kepada kerja penyelidikan dan ujian klinikal yang dijalankan di IJN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek kepada dua pesakit jantung berlubang iaitu Siow Chee Siong, 14, dan Nur Aeinshah Kamarudin, 8, di IJN di sini hari ini.

Sementara itu bagi Siow yang menghidap jantung berlubang sejak berusia dua bulan, sumbangan RM18,000 itu dapat menampung sepenuhnya kos pembedahan yang akan dilakukan pada 21 November ini.

"Saya harap dapat menjalani aktiviti harian bersama kawan-kawan lain dan pergi ke sekolah seperti biasa selepas pembedahan nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Siow dimaklumkan oleh IJN kira-kira seminggu lalu bahawa ada pihak yang sanggup membiayai kos pembedahannya.

Jumlah keseluruhan dana yang berjaya dikutip untuk pembedahan Siow dan Aeinshah ialah sebanyak RM38,000. - Bernama

0 comments: