Followers

Saturday, October 10, 2009

Masyarakat India tidak terpinggir daripada pembangunan: PM

SERDANG: Masyarakat India di negara ini tidak akan terpinggir daripada sebarang pembangunan dan kemajuan yang diberikan oleh kerajaan kerana mereka adalah rakyat Malaysia yang akan sentiasa didahulukan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berucap pada majlis pelancaran parti Makkal Sakti Malaysia di sini hari ini, beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana dianugerahkan dengan pelbagai kekayaan dan masyarakat India seperti juga masyarakat lain di negara ini, turut menyumbang ke arah kekayaan itu.

Katanya, kedatangan awal masyarakat India ke Tanah Melayu sebagai pekerja di ladang getah dan terlibat secara langsung dalam pembinaan landasan kereta api telah banyak membantu ke arah pembangunan negara ini.

"Oleh itu maka adalah adil bagi kita untuk memberi apa yang patut kita berikan kepada masyarakat India. Kita akan berikan apa yang patut kaum Melayu miliki kepada kaum Melayu, kita akan berikan apa yang patut kaum Cina miliki kepada kaum Cina dan kita akan berikan apa yang patut kaum India miliki kepada kaum India. Inilah hasrat kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pentadbiran beliau akan sentiasa berpaksikan kepada falsafah 1Malaysia dalam menggubal program yang akan memberikan keadilan kepada semua lapisan masyarakat.- Bernama

0 comments: