Followers

Monday, October 5, 2009

Penduduk pedalaman menderita


ANGGOTA Persatuan Bulan Sabit Merah memasak untuk juadah makanan tengah hari untuk pasukan-pasukan Bantuan Menyelamat dari Malaysia.

Banyak kawasan luar bandar belum terima bantuan makanan, ubat-ubatan

PARIAMAN: Selepas lima hari gempa bumi menggoncang Sumatera Barat dengan angka korban mencecah lebih 600 orang, beratus lagi masih hilang atau tertimbus, masih banyak kawasan khususnya luar bandar tidak menerima sebarang bantuan.

Antara kawasan yang terjejas teruk dengan gempa bumi, tetapi belum menerima bantuan sepatutnya ialah Padang Pariaman, Kota Pariaman dan Pessel, menyebabkan penduduknya menderita kekurangan bekalan makanan serta ubat-ubatan.

Pihak berkuasa dan pasukan bantuan asing terutama dari Barat dilihat hanya memberi tumpuan di kawasan Padang, ibu negeri Sumatera Barat, manakala kawasan pedalaman 'ditinggalkan'.

Penduduk Kampung Desa Tiram Tapakis di Pariaman mendakwa sehingga kini tiada langsung bantuan disalurkan kepada kira-kira 500 penduduknya yang hampir semuanya kehilangan tempat tinggal mereka.

Tinjauan Berita Harian mendapati kira-kira 90 peratus rumah di kampung yang terletak di tepi Pantai Wisata Tiram Ulakan Tapakis, kira-kira 70 kilometer dari Padang dan 25 kilometer dari pusat bandar Kota Pariaman sudah ranap.

Kebanyakan rumah yang dibina dari kayu ranap menyembah bumi manakala kediaman berasaskan batu bata mengalami keretakan teruk dengan sebahagiannya juga roboh, menyebabkan penghuninya tidak berani masuk kediaman mereka.

Anton Caniago, 40, berkata penduduk kehilangan harta benda dalam kejadian itu dan hidup dalam kesusahan.

"Bayangkan, kami sudah tiada rumah dan kini terpaksa tidur di dalam khemah sementara dan sesetengahnya hanya tidur di atas rumput di padang terbuka.

"Sudahlah kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada petani dan nelayan miskin, kini semuanya bertambah miskin kerana tidak mempunyai mata pencarian," katanya.

Sam Anan, 35, berkata nelayan kini tidak berani turun ke laut kerana bimbangkan tsunami melanda kerana diberitahu gempa susulan masih terjadi beberapa hari selepas gempa berkekuatan 7.6 Skala Richter itu, Rabu lalu.

Beliau yang menganggap kerajaan menganaktirikan penduduk kawasan pedalaman, berkata ketika ini penduduk hanya makan apa yang ada dan sangat berharap bantuan segera.

"Kami tahu, di bandar itu (Padang) kerajaan memberi sepenuh tumpuan dan segala bantuan sedangkan kami di sini, air sebotol pun tidak dihantar, apatah lagi memberi perlindungan lain," katanya.

Sementara itu, di Pariaman yang kebanyakan kampungnya dilanda gempa bumi menyebabkan tanah runtuh menghempap ratusan kediaman, bantuan masih berkurangan dengan hanya beberapa pasukan bantuan asing termasuk Mercy Malaysia saja yang berada di kawasan berkenaan.

Jurucakap Mercy berkata, pihaknya menghantar beberapa sukarelawan untuk meninjau keadaan kawasan itu dengan sedikit bekalan ubat-ubatan sebelum bantuan seterusnya tiba.

Sementara itu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) yang terdiri daripada 25 anggota memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dua hotel yang runtuh, semalam, namun tiada mangsa ditemui.

0 comments: