Followers

Thursday, September 17, 2009

PDRM rancang guna satelit cegah penyeludupan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia sering dilabel sebagai negara persinggahan bagi kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia selain didakwa kurang bersungguh menangani jenayah merentas sempadan itu.

Hakikatnya daya tarikan Malaysia sebagai negara yang dijadikan transit bukanlah kerana kelemahan kawalan dan penguatkuasaan oleh pasukan keselamatan tetapi kerana kedudukan Malaysia yang mempunyai sempadan laut dan darat yang luas hingga negara ini menghadapi kesan limpahan jika berlaku masalah ekonomi di negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memberitahu Bernama bahawa tiada negara termasuk Malaysia yang mahu atau rela terbabit dalam kancah menyeludup, menjual dan memperdagangkan manusia, kerana jenayah ini dipandang jijik dan bertentangan dengan hak kebebasan manusia.

Namun, katanya, di negara tertentu kegiatan penyeludupan manusia tetap berlaku disebabkan kedudukan geografi dan kemakmuran ekonomi yang menjadi tumpuan rakyat asing hingga Malaysia menjadi mangsa keadaan dengan dijadikan transit kegiatan haram itu.

Musa berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah komited untuk menangani kegiatan haram itu dengan merangka beberapa usaha serta kerjasama komprehensif agar kegiatan memperdagangkan manusia dihapuskan sepenuhnya.

Antaranya Malaysia kini menggiatkan lagi jalinan kerjasama dengan Australia bagi bertukar-tukar dan berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Musa berkata, PDRM kini dalam perancangan untuk mengaplikasikan secara total penggunaan teknologi canggih seperti satelit bagi mengesan dan memantau kedudukan kapal-kapal yang melalui perairan negara terutamanya yang cuba menyeludup manusia keluar ke negara ketiga.

"Jenayah tersebut kemungkinan dapat dikekang dengan menggunakan satelit untuk mengesan dan memantau mana-mana kapal yang mencurigakan. Bagaimanapun kita akan bincang terlebih dahulu cadangan tersebut termasuk penambahan bot untuk kawalan marin kerana ia memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Musa berkata, PDRM telah membuktikan komitmennya dalam membanteras jenayah itu apabila memberkas 199 individu yang didapati cuba menyeludup keluar manusia dari negara ini ke negara ketiga sama ada menggunakan jalan laut atau udara dalam tempoh 4 Januari hingga 9 Ogos lalu.

"Kita menangkap 108 warga Afghanistan, tujuh daripadanya cuba keluar secara haram melalui udara, selebihnya melalui perairan, warga Pakistan 47 orang melalui laut dan 10 udara. Yang lain-lain warga Iran, India dan juga Iraq," katanya.

Dalam tempoh itu, 21 orang tekong, 15 daripadanya warga Indonesia dan enam warga tempatan, telah ditahan manakala seramai 14 ketua sindiket, lima dari Iraq, empat dari Iran dan negara lain seperti Pakistan, Sudan, Myanmar turut diberkas.

"Hakikatnya PDRM tidak pernah memejam sebelah mata dalam masalah serius ini dan kita semua tahu bahawa pemerdangan manusia menyebabkan kehidupan normal bertukar kepada mimpi ngeri.

"Justeru kita bersama-sama negara luar khususnya Australia sentiasa berusaha menjejaki dalang yang berada di belakang kegiatan ini, sama ada wujud sindiket di negara hos seperti Pakistan dan Afghanistan, juga bagaimana mereka boleh melalui Indonesia untuk ke Australia dan negara ketiga lain dan siapa yang membantu mereka," katanya.

Beliau berkata, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak yang mendapat manfaat dari mengeksploitasi orang yang diperdagangkan dan pihaknya juga tidak akan berkompromi jika didapati wujud penglibatan oleh penguatkuasa sendiri termasuk mereka yang membuat, mendapatkan, memberi dan menjual dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan yang bertujuan membantu kegiatan penyeludupan.

Musa berkata, PDRM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga sepenuhnya dan turut memperhebatkan lagi kawalan keselamatan dan rondaan bersepadu di sepanjang perairan negara.

Buktinya, Polis Gerakan Marin (PGM) banyak kali berjaya menumpaskan pelbagai jenayah di perairan hinggakan jenayah lanun dan rompakan laut di Selat Melaka berkurangan dan diharapkan indeks jenayah pemerdagangan manusia juga akan diturunkan hasil rondaan dan pemantauan yang koodinasi dan optimistik.

Beliau berkata, jika kegiatan haram itu mahu dicegah, perlu ada kesepakatan antara negara-negara berkenaan khususnya dalam aspek pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran dan pembentukan undang-undang seragam untuk memastikan aktiviti memasuki negara secara tidak sah itu dapat dibendung di peringkat akar umbi.

"Kita punya kemampuan untuk membuat pemantauan sendiri tanpa bantuan lain tetapi jika ia sudah terkeluar dari sempadan negara kita, takkan kita nak ceroboh. Inilah pentingnya kerjasama bersama negara luar seperti Australia" katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai negara transit malahan juga negara destinasi apabila warga negara lain masuk ke negara ini untuk mencari kerja atau menggunakan negara ini sebagai perlindungan apabila negara mereka terlibat dalam peperangan.

"Kita mahukan pelancong bagi menggalakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara tetapi mereka ini yang datang secara halal kemudiannya tidak mahu balik ke negara masing-masing atau menyeludup ke luar ke negara ketiga. Pelarian yang datang secara haram juga kita terpaksa tanggung, jadi beban kepada kita," katanya. - Bernama

0 comments: