Followers

Tuesday, September 15, 2009

Sentimen anti-Malaysia belum padam

50 anggota Persatuan Buruh Kontrak Indonesia bawa buluh runcing berarak di Jalan Diponegoro

JAKARTA: Walaupun ada gesaan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi tindakan polis ke atas pihak yang melakukan bantahan anti-Malaysia, satu lagi perhimpunan membabitkan penunjuk perasaan yang memegang batang buluh runcing diadakan kelmarin.

Detik.com melaporkan kira-kira 50 orang dari Persatuan Buruh Kontrak Indonesia berkumpul di hadapan ibu pejabat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) di sini sebelum berarak sambil melaungkan 'musnahkan Malaysia' di sepanjang Jalan Diponegoro yang menjadi tempat bantahan demokrasi minggu lalu, di tempat Sukarelawan Ganyang Malaysia melakukan sekatan jalan untuk mencari rakyat Malaysia.

"Malaysia memberi layanan buruk kepada Indonesia dan kerajaan seolah-olah tidak peduli," kata Neni salah seorang penunjuk perasaan dipetik sebagai berkata.

Walaupun ada gangguan lalu lintas, penunjuk perasaan memakai lilit kepala merah dan putih, tidak secara aktif 'menyapu' rakyat Malaysia.

Effendi Choiri, seorang pakar hubungan antarabangsa, berkata operasi sapu terhadap rakyat Malaysia mungkin mempunyai akibat yang buruk.

"Jika anda mahu memperjuangkan sesuatu, silakan berarak di jalanan, namun jangan melampaui batas kerana ia akan menjejaskan Indonesia," katanya.

Effendi berkata, mengusir rakyat Malaysia dari negara dan menghalang pelajarnya daripada belajar di universiti di sini hanya akan menjejaskan Indonesia.

"Ada berjuta rakyat Indonesia tinggal di Malaysia ketika ini," katanya. "Apa yang akan berlaku kepada mereka jika Malaysia mengambil keputusan mengusir mereka keluar? Mereka akan kehilangan kerja dan pelajar tidak dapat menghabiskan pengajian mereka."

Bagaimanapun, Effendi berkata beliau memahami tindak balas orang ramai terhadap perbalahan antara dua negara, berikutan sejarah pertikaian sebelum ini.

Katanya, ketegangan yang mendasari kedua-dua negara meletus ke permukaan kerana pertikaian terbaru. - Agensi

0 comments: