Followers

Tuesday, September 15, 2009

Pemuda Umno kesal kecaman terhadap Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Kecaman terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung MIC semalam adalah melampau dan amat biadab, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata tindak-tanduk seumpama itu bukan budaya Barisan Nasional (BN) dan MIC perlu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan.

“Tindakan perlu dikenakan oleh BN jika pimpinan MIC membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja.

“Ia mesti diambil demi menjaga kerukunan dalam BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan bahawa Dr Mahathir telah dikritik anggota perwakilan MIC pada perhimpunan itu kerana dikatakan mencampuri urusan dalaman MIC serta menjatuhkan maruah presiden parti itu, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Pergerakan Pemuda Umno berpandangan bahawa tindak tanduk sebegini tidak membantu mengalihkan pandangan masyarakat kepada kedudukan MIC yang sebenarnya,” kata Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Beliau berkata, rasa hormat perlu diraih dan bukan boleh diminta-minta.

“Mereka kena cari jalan menonjolkan perancangan dan kerja yang baik, bukan dengan menyalahkan orang lain apatah lagi menghina pemimpin besar negara,” katanya. - Bernama

0 comments: