Followers

Monday, September 7, 2009

H1N1: Tiada kematian baru dilaporkan

KUALA LUMPUR: Bilangan korban akibat Influenza A (H1N1) kekal pada 73 apabila tiada kes kematian baru dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata seramai 228 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama 248 kes telah dibenar keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,283 ILI sedang dirawat di 96 buah hospital termasuk tujuh hospital swasta di seluruh negara. "Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 214 pesakit (16.7%) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 214 kes yang telah disahkan H1N1, 48 kes berada di ICU di mana tujuh kes adalah kemasukan baru, sementara 11 lagi kes telah keluar dari ICU.

Katanya daripada 48 kes yang sedang dirawat di ICU, 29 (60.4%) mempunyai faktor risiko.

"Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (11), kanak-kanak bawah 5 tahun (7), morbid obesiti (9), hamil/postnatal (1) dan penyakit respiratori (1),' katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, kajian mendapati merokok adalah faktor risiko bagi jangkitan influenza terutama di kalangan orang muda. Katanya, jangkitan influenza adalah lebih teruk di kalangan perokok kerana asap rokok merosakkan saluran pernafasan dan memburukkan lagi keadaan pesakit.

"Malah pendedahan kepada asap rokok secara pasif juga perlu dielakkan," katanya.

0 comments: