Followers

Sunday, September 6, 2009

H1N1: 1,303 dirawat kerana gejala ILI

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat jangkitan Influenza A (H1N1) direkodkan sehingga jam 9 pagi tadi tetapi seramai 1,303 pesakit, termasuk 219 kes baru, sedang dirawat di 113 hospital di seluruh negara kerana gejala penyakit seakan influenza (ILI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada jumlah itu 332 pesakit atau 25.5 peratus disahkan positif influenza A(H1N1) termasuk 52 kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada 52 kes yang dirawat di ICU, 16 kes berisiko penyakit kronik, sembilan kes merupakan kanak-kanak di bawah lima tahun, obesiti (9), kes hamil (1), warga emas (1) dan berpenyakit respitori (1)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Angka korban H1N1 di negara ini kekal pada 73 kes.

Dr Mohd Ismail berkata, kementerian hanya menerima sepuluh panggilan telefon melalui hotline dan tujuh e-mel yang bertanyakan mengenai penyakit H1N1 hari ini.

Katanya, walaupun bilangan pertanyaan berkurangan, orang ramai masih bertanyakan langkah pencegahan dan simptom Influenza A (H1N1).

"Saya menegaskan bahawa orang ramai boleh mengelak daripada dijangkiti dengan cara menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza dan sentiasa berada sekurang-kurannya satu meter dari individu terbabit," katanya.

Beliau berkata, individu yang berasa tidak sihat dan mengalami gejala selesema mestilah menunjukkan rasa tanggungjawab dengan pergi mendapatkan rawatan awal dan nasihat kesihatan.

"Mereka diminta untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah, rumah ibadat atau mana-mana tempat awam.

"Sekiranya tidak dapat dielakkan keluar, mereka mesti sentiasa memakai penutup mulut kerana virus H1N1 merebak melalui titisan cecair dari batuk dan selesema," katanya.

Maklumat perkembangan terkini pandemik H1N1 boleh diperoleh menerusi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang atau menerusi laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my.

0 comments: