Followers

Tuesday, August 11, 2009

Sabah&Sarawak: Mutu khidmatan kesihatan di hospital wajar diutama

Pembinaan pusat rawat pesakit perlukan kos tinggi: Liow

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan meminta kerajaan negeri memastikan Wisma Khidmat, di sini yang bakal diubah suai menjadi hospital swasta mampu mengekalkan perkhidmatannya kerana penyediaan perkhidmatan kesihatan membabitkan kos tinggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penyediaan kesihatan bukan setakat membabitkan pembinaan bangunan, malah yang lebih penting ialah mengekalkan perkhidmatannya yang membabitkan pelaburan tinggi.

"Kerajaan negeri perlu berhati-hati kerana untuk membina hospital memang mudah tetapi tidak mudah untuk menguruskannya. Kementerian Kesihatan sendiri menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

"Jika kerajaan negeri ingin membina hospital, ia perlu mengekalkan perkhidmatan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan penamaan Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak-kanak, di Hospital Likas, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Marzukhi Md Isa dan Pengarah Hospital Likas, Dr Razak Tambi.

Beliau mengulas cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan Wisma Khidmat sebagai hospital swasta yang bakal menyediakan 150 katil dengan kos RM100 juta.

Ia bertujuan mengatasi kesesakan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini selepas blok menara hospital itu ditutup setahun lalu kerana tidak selamat digunakan.

Mengenai pengubahsuaian Pusat Perubatan Sabah (SMC), di sini yang dibeli Kementerian Kesihatan dan dijadikan hospital kerajaan, Liow berkata, ia akan dimulakan segera selepas perjanjian jual beli yang dijangka akhir bulan ini.

Pembelian SMC pada harga RM245 juta diumumkan Datuk Seri Najib Razak Mei lalu. Ia menyediakan 400 katil dan beberapa bilik pembedahan.

Liow juga berkata, kerajaan akan membina menara berkembar QEH di kawasan tidak jauh dari bangunan hospital itu yang sedia ada yang mampu menempatkan 600 katil.

0 comments: