Followers

Tuesday, August 11, 2009

Sabah&Sarawak: Syor tambah 30 peratus pembuat dasar wanita

SANDAKAN: Cadangan supaya 30 peratus pembuat dasar diberikan kepada wanita harus segera dilaksanakan kerajaan sebagai pengiktirafan sumbangan wanita kepada pembangunan negara.

Ketua Wanita Umno Bahagian Sandakan, Asnah Tahlil, berkata pergerakan itu meminta kerajaan melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar kerana ia sudah lama diperjuangkan wanita, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam, politik, akademik, ekonomi dan sosial selepas negara mencapai kemerdekaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Oleh itu, kerajaan wajar menyegerakan cadangan berkenaan kerana sekarang semakin ramai wanita memegang jawatan penting sama ada dalam sektor awam atau swasta," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Wanita Umno bahagian di Hotel Sandakan, di sini semalam.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Ketua Umno bahagian, Tan Sri Ampong Puyon.

Mengenai Wanita Umno, beliau berkata, jumlah pengundi wanita yang lebih ramai daripada lelaki harus dijadikan landasan untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ada 2.75 ahli Wanita Umno di seluruh negara. Setiap kali menjelang pilihan raya, wanita paling sibuk berkempen untuk membantu kemenangan calon BN," katanya.

Asnah yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno Sabah, berkata ahli pergerakan itu harus menanam tekad dan semangat bekerja lebih gigih bagi mengembalikan kegemilangan Umno sebagai tunjang perjuangan BN.

"Kita harus jujur, setia kepada parti dan sanggup bersama-sama parti sama ada ketika kuat atau ketika menghadapi pelbagai cabaran," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli pergerakan itu menjadikan mesyuarat berkenaan sebagai landasan terbaik membincangkan hala tuju parti dalam memperjuangkan masa depan rakyat.

0 comments: