Followers

Friday, August 7, 2009

Sabah & Sarawak: Gotong-royong di kawasan setinggan terap konsep 1Malaysia

KUNAK: Tapak cadangan penempatan kira-kira 400 keluarga setinggan di Kampung Kunak 3, di sini berjaya dibersihkan melalui program gotong-royong berkonsepkan 1Malaysia yang dijayakan kira-kira 1,000 penduduk semalam.

Program itu bertujuan membolehkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri menjalankan kerja mengukur keluasan kawasan berkenaan secara tepat sebelum menandakan lot tertentu untuk diagihkan kepada setinggan di Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas.

Dengan berbekalkan iltizam untuk menikmati tempat tinggal yang lebih baik, keluarga setinggan terbabit mula membersihkan kawasan berkenaan sejak jam 8 pagi hingga kira-kira jam 5 petang.

Berucap sebelum memulakan program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Nilwan Kabang, berkata konsep 1Malaysia diterapkan dalam program berkenaan bertujuan menanam semangat kerjasama antara penduduk, sekali gus memperkukuh perpaduan.

"Program ini adalah perintis bagi mewujudkan kampung lebih tersusun, sejajar hasrat kerajaan untuk menghapuskan setinggan di negeri ini," katanya.

Akhbar ini pada 24 Julai lalu melaporkan kenyataan Nilwan, kawasan berkenaan dicadangkan sebagai penempatan baru untuk kira-kira 400 setinggan, masing-masing 200 dari Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas.

0 comments: