Followers

Friday, August 7, 2009

Sabah & Sarawak: Koperasi jadi pengedar beras nasional di daerah

KOTA KINABALU: Masalah penyelewengan beras nasional di negeri ini akan diatasi tidak lama lagi melalui pelantikan beberapa koperasi sebagai pengedar utama di setiap daerah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata ia bagi memastikan beras berkenaan sampai kepada golongan sasar, iaitu anggota masyarakat berpendapatan rendah, terutama di luar bandar.

Katanya, sebuah koperasi utama akan dilantik sebagai pengedar di setiap daerah yang bertanggungjawab mengedarkan barangan berkenaan ke setiap kedai runcit dan kedai koperasi.

"Koperasi itu diberikan lesen pengedaran dan penjualan beras oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Operasi mereka dipantau oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"SKM akan memastikan beras yang diedar oleh koperasi tidak dijual kepada pihak lain yang bukan golongan sasar beras nasional. Jika didapati menyeleweng, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pengedaran beras subsidi 15 peratus hancur di negeri ini, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Jaafar Walad; Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara Cawangan Sabah, Mohd Amin Awang Salleh dan Timbalan Pengarah SKM Sabah, Joseph Teng Mun Koh.

Azizah berkata, sejak kerajaan mengedarkan beras berkenaan pada Jun 2008, ramai rakyat berpendapatan rendah mengeluh sukar mendapatkannya.

"Apabila ditanya kepada pekedai, mereka memberi alasan bekalan tidak mencukupi tetapi sebenarnya Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara mengedarkan 8,500 tan beras nasional setiap bulan kepada 110 pemborong.

"Jumlah itu mampu menampung keperluan 1.3 juta rakyat berpendapatan rendah. Sebenarnya, tidak wujud kekurangan bekalan seperti yang didakwa pekedai," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya mendapati ada pemborong tidak mengagihkan beras berkenaan kepada pekedai tetapi menjualnya secara terus kepada pengusaha restoran untuk mendapatkan pulangan cepat, sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat.

"Bagi mengatasinya, kementerian dengan kerjasama Kawal Selia Padi dan Beras Negara, SKM dan KPDNKK melantik koperasi sebagai pengedar utama beras subsidi. Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di daerah Keningau, diikuti Tenom sebelum diperluas ke semua daerah tidak lama lagi.

"Selain beras, koperasi itu juga akan mengedarkan barangan bersubsidi yang lain. Koperasi Majlis Daerah Keningau Bhd (KMDKB) adalah koperasi pertama mengemukakan permohonan mendapatkan lesen mengedar dan menjual beras," katanya.

Beliau berkata, KPDNKK akan membiayai kos pengangkutan menghantar barangan bersubsidi ke pedalaman bagi memastikan harga barangan berkenaan sama seperti di bandar.

0 comments: