Followers

Tuesday, July 21, 2009

Wanita Mesir positif H1N1 meninggal ketika Umrah

KAHERAH: Seorang wanita Mesir meninggal dunia akibat selesema babi selepas jatuh sakit ketika melakukan ibadat umrah di Makkah, kata pegawai Kementerian Kesihatan kelmarin.

Wanita berkenaan yang memang menghidapi penyakit jantung, berlepas ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah pada awal bulan ini, dan kemudian mempunyai simptom selesema babi pada 11 Julai lalu.

Beliau dirawat di Arab Saudi tapi tidak pulih, dan kemudian kembali ke Mesir atas permintaan suaminya. Wanita itu berusia 20-an.

"Hasil kajian mengesahkannya positif H1N1. Beliau meninggal dunia semalam," kata Amr Kandeel, ketua bahagian kawalan penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan.

Kematian wanita itu adalah kes pertama warga Mesir yang terkorban akibat virus berkenaan.

Virus H1N1 dikesan pada 130 orang di Mesir, termasuk 10 kes terbaru yang dilaporkan kelmarin, kata agensi berita kerajaan, MENA.

Kira-kira tiga juta jemaah dari 160 negara dijangka mengunjungi Makkah bagi mengerjakan ibadat Haji, yang bermula November depan.

Virus H1N1 kini dikesan menjangkiti puluhan ribu orang di seluruh dunia, dan mengorbankan lebih 340 orang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu di HANOI, seorang pegawai berkata sebuah sekolah di selatan Vietnam ditutup selepas 26 guru dan pelajar diuji positif dijangkiti selesema babi.

Tuong Nguyen Su, ketua kakitangan di sekolah tinggi Ngo Thoi Nheim di bandaraya Ho Chi Minh, berkata 24 pelajar dan dua guru dihidapi virus berkenaan. - Reuters/AP

0 comments: