Followers

Tuesday, July 21, 2009

Sabah & Sarawak: Kompleks pendaratan ikan perlu tapak sesuai

KUNAK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia pada bila-bila masa membina kompleks pendaratan ikan dilengkapi peralatan moden di Kunak dan kawasan lain di negeri ini tetapi memerlukan kerjasama kerajaan negeri menyediakan tapak.


LKIM menyediakan peruntukan RM7.5 juta untuk membina kompleks berkenaan di beberapa kawasan utama pendaratan ikan di seluruh Sabah tetapi belum mampu melaksanakannya berikutan ketiadaan tanah yang dimiliki kerajaan negeri.

Sehubungan itu, LKIM meminta Pengerusi Persatuan Nelayan (PNK) di seluruh Sabah bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing untuk membantu organisasi itu mendapatkan tapak daripada kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata LKIM memang sedar mengenai ketiadaan walau satu pun kompleks pendaratan ikan sempurna di Sabah berbanding di Semenanjung dan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan itu dengan kunci utamanya adalah penyediaan tapak oleh kerajaan negeri.

"Saya meminta PNK bekerjasama dengan Pejabat Daerah, Ahli Parlimen dan Adun di kawasan masing-masing untuk membantu LKIM mendapatkan tapak berkenaan daripada kerajaan negeri.

"LKIM mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tetapi pelaksanaan pembinaan kompleks pendaratan ikan tertakluk kepada tanah disediakan kerajaan negeri kerana LKIM sendiri tidak memiliki tanah di pinggir pantai," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini pada 13 Julai lalu mengenai kesengsaraan ahli PNK Kunak mendaratkan ikan di Kampung Pangkalan, berikutan ketiadaan kompleks pendaratan ikan atau jeti yang benar-benar memenuhi keperluan itu.

Industri perikanan yang berkembang pesat di Kunak khususnya dan Pantai Timur Sabah amnya, seolah-olah tidak disokong dengan penyediaan jeti sempurna bagi membolehkan nelayan mendaratkan ikan, ketam, sotong dan pelbagai hasil laut yang lain dengan menggunakan peralatan lebih baik seperti kren pengangkat ikan, alat timbang lebih komprehensif dan kawasan menjual ikan kepada pemborong.

Kesukaran nelayan di Kunak untuk mendaratkan hasil laut semakin membebankan selepas jeti LKIM diperbuat daripada kayu di Pasar Ikan Kunak, runtuh pada April lalu, sekali gus menyebabkan nelayan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa menggunakan tebing konkrit milik Majlis Daerah Kunak di Kampung Pangkalan untuk mendaratkan hasil tangkapan.

Sehubungan itu, Pengerusi PNK Kunak, Asiah Hamid merayu LKIM menyediakan kompleks pendaratan ikan berbanding yang sedia ada, bukan setakat untuk memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan, malah memajukan industri perikanan.

Asiah dilaporkan berkata, 769 ahli PNK Kunak merayu LKIM membantu menyediakan jeti berkenaan berikutan jeti sedia ada yang kecil dan tidak kukuh, tidak mampu menampung bot laut dalam, bot besar dan kecil serta perahu yang membawa hasil tangkapan.

0 comments: