Followers

Sunday, May 31, 2009

5 lagi kontak Influenza A (H1N1) dikuarantin di rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga hari ini, terdapat lima lagi kontak kepada individu yang disahkan positif Influenza A(H1N1) yang diletakkan di bawah kuarantin rumah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 kontak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata dua daripada kontak tersebut adalah kontak kepada kes yang disahkan di Taiwan pada 24 Mei lalu manakala tujuh lagi ialah kontak kepada kes yang disahkan di Singapura.

"Dua kontak kepada kes di Taiwan akan tamat tempoh kuarantin pada hari ini. Tujuh kes lagi adalah kontak kepada kes di Singapura, di mana satu akan tamat tempoh kuarantin pada 1 Jun dan enam lagi akan tamat pada 2 Jun.

"Tiga lagi adalah kontak kepada kes di Hong Kong di mana dua akan tamat kuarantin pada 4 Jun dan satu akan tamat pada 5 Jun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua kontak yang sedang dikuarantin dalam keadaan sihat dan memberikan kerjasama yang baik kepada Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Ismail, berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Bertindak Cepat (CPRC) Kebangsaan juga sudah mendapat maklumat daripada Jabatan Imigresen mengatakan bahawa terdapat 40 kontak kepada kes-kes di Singapura di kalangan warganegara asing yang masuk ke Malaysia baru-baru ini, sudah keluar ke negara lain.

Katanya, sehingga jam 8 pagi ini, bilik CPRC sudah menerima notifikasi 17 kes yang dimasukkan ke wad pengasingan di enam Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan penyiasatan.

Menurutnya, daripada 17 kes itu, 14 adalah negatif manakala tiga masih menunggu keputusan.

Sehingga kini, 341 kes sudah dimasukkan ke wad pengasingan untuk penyiasatan di mana 336 disahkan negatif dan dua kes yang disahkan positif adalah yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 9 pagi ini, sebanyak 1,562 kes baru dilaporkan di seluruh dunia menjadikan keseluruhan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal sebanyak 17,072 kes.

Peningkatan itu berlaku di 16 buah negara iaitu Australia, Belgium, Kanada, China, Perancis, Jerman, Greece, Israel, Jepun, Mexico, Russia, Slovakia, Switzerland, Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Sebanyak 16 kematian baru dilaporkan iaitu di Mexico 12 kematian dan empat di AS menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 115, manakala jumlah negara yang dikesan terdapat wabak Influenza A(H1N1) kekal kepada 55 negara. - Bernama

0 comments: