Followers

Saturday, May 16, 2009

DiGi labur RM75 juta perluas liputan 3G di Sabah


Dua penari kebudayaan Kota Kinabalu tertarik melihat replika Jalur Lebar DiGi semasa majlis pelancaran kemasukan Jalur Lebar DiGi di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 15 Mei - DiGi.Com Bhd. (DiGi) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM75 juta bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar 3G di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, peruntukan tersebut adalah bagi mengembangkan kawasan liputan 3G di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.

"Kemasukan DiGi di Sabah adalah sebahagian daripada pelan perluasan agresif Digi bagi membawa perkhidmatan jalur lebar kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

"Langkah ini juga bagi mengukuhkan penguasaan DiGi yang pada masa ini berada di tempat kedua dan sedang menuju ke tempat pertama sebagai peneraju pasaran.

"Dengan pelancaran ini dan kemudiannya di Pulau Pinang nanti kami sekarang berada di landasan terbaik bagi membawa perkhidmatan jalur lebar 3G DiGi ke lebih 1,000 zon di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini," katanya pada majlis pelancaran jalur lebar DiGi di Kota Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.

Menurutnya, pada masa ini liputan jalur lebar 3G DiGi di negeri ini boleh dinikmati di seluruh bandar raya Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, di luar kawasan liputan 3G, pelanggan secara automatik mendapat rangkaian internet dalam liputan Penyelesaian Evolusi GSM (EDGE).

Dalam pada itu, Dennelind memberitahu, pihaknya tidak menetapkan jumlah kawasan yang akan mendapat liputan jalur lebar 3G dalam tempoh tiga tahun di negeri ini, tetapi berharap dapat menambah kawasan liputan sebanyak mungkin.

"Bagaimanapun dalam usaha kami mempercepatkan perluasan perkhidmatan jalur lebar, kami sentiasa memastikan kualiti perkhidmatan di kawasan yang mempunyai liputan berada di tahap terbaik," katanya.

Sementara itu katanya, perkhidmatan jalur lebar DiGi pasti memberikan kepuasan kepada pelanggan kerana menggabungkan kualiti dan harga yang berpatutan.

Tambahnya, DiGi juga telah melabur dalam teknologi Capaian Paket Pindah Turun Berkelajuan Tinggi (HSDPA) yang pertama di negara ini yang memberikan kelajuan sehingga 14.4Mbps bagi membolehkan muat turun dan muat naik lebih pantas.

0 comments: