Followers

Friday, May 15, 2009

Tuntutan pulau ikut rundingan

PUTRAJAYA: Malaysia mahu pertikaian mengenai tuntutan bersama Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang membabitkan beberapa negara diselesaikan menerusi rundingan dan undang-undang antarabangsa, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada tuntutan bertindih seperti itu mempunyai mekanisme tersendiri dan isu berkenaan akan dapat diselesaikan dengan baik jika masing-masing berpegang kepada prosedur terbabit.

“Kita percaya segala-gala ini boleh diselesaikan menerusi rundingan... kita ada proses dan mekanisme untuk selesaikan soal tuntutan. Prinsip dari segi undang-undang antarabangsa ada mekanisme bagi merundingkan kawasan yang bertindih,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin yang memetik laporan agensi berita asing mengenai amaran China bahawa ia mempunyai ‘kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap Kepulauan Spratly.

Laporan itu memetik jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu, sebagai memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Beijing tidak mahu bertolak-ansur terhadap tuntutan kepulauan berkenaan oleh negara lain.

Ma juga mendakwa China memiliki hak dan kuasa berdaulat terhadap kepulauan di Laut China Selatan serta laut yang berdekatan dengannya.

Selain Malaysia dan China, Kepulauan Spratly yang sesetengah pihak percaya memiliki sumber gas dan minyak yang kaya turut dituntut sama ada sepenuhnya atau sebahagian, oleh Taiwan, Vietnam serta Filipina.

Perdana Menteri berkata, semua pihak boleh mengelak daripada menjadikan isu itu sesuatu yang tidak dapat diselesaikan jika masing-masing berpegang kepada prosedur sedia ada.

“Saya percaya jika kita berpegang kepada prosedur sedia ada untuk selesaikan sebarang tuntutan yang bertindih, kita boleh mengelak daripada masalah yang terlalu berat atau terlalu kusut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar, berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meneruskan rondaan seperti biasa, walaupun China memberi amaran supaya menjauhi kepulauan itu.

“Kita mengadakan rondaan di pulau-pulau (termasuk Spratly) yang berada dalam jarak 200 batu nautika dalam perairan kita sejak 1980-an dan akan meneruskannya seperti biasa.

“Amaran China itu bukanlah sesuatu yang baru kerana mereka sudah mendakwa dan memberitahu dunia bahawa Kepulauan Spratly itu milik mereka sejak dulu lagi, walaupun hak pemilikan sebenarnya belum diputuskan,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Panglima Tentera Laut berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan rakan sejawat dari Britain, Laksamana Sir Jonathan Band di Wisma Pertahanan di ibu negara, semalam.

China sebelum ini dilaporkan memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly dengan mendakwa Beijing memiliki kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap perairan itu.

0 comments: