Followers

Friday, May 15, 2009

Gadis sembunyi bayi bawah katil

SUNGAI PETANI: Perbuatan seorang gadis melahirkan anak luar nikah dan membungkus bayi lelakinya dengan kain batik serta dimasukkan dalam plastik hitam sebelum menyembunyikannya di bawah katil terbongkar apabila dia mengalami perdarahan teruk.

Gadis berusia 27 tahun itu dari sebuah kampung di Bukit Selambau dekat sini, dan cacat sebelah mata kini dimasukkan ke Hospital Sik (HS).

Sumber berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan ke atasnya mendapati gadis itu mempunyai tanda baru melahirkan anak manakala ibu bapanya terkejut kerana tidak menyedari anak mereka hamil.

Katanya, pada mulanya bapa gadis itu menghubungi ambulans untuk membantu anaknya mendapatkan rawatan di hospital, selepas dia mengadu mengalami sakit perut yang teruk.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan kemudian menyoal siasat gadis itu dan dia mengaku melahirkan anak bersendirian ketika ibu bapanya tiada di rumah, Isnin lalu.

“Dia pada mulanya memberitahu bayi lelaki yang dilahirkan itu sudah ditanam di belakang rumah.

“Selepas didesak, dia mengaku membungkus bayi yang masih hidup ketika dilahirkan dengan kain batik sebelum memasukkannya dalam beg plastik hitam dan disimpan di bawah katil dalam bilik tidurnya kerana takut diketahui keluarga,” katanya di sini, semalam.

Polis yang ke rumahnya jam 2.53 petang kelmarin menemui satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi mayat bayi di bawah katilnya.

Sumber berkata, bayi berkenaan sudah cukup sifat dan mayatnya sudah berbau kerana sudah tiga hari disorokkan.

Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk dibedah siasat. Difahamkan bayi mati akibat lemas.

Bapa dan abang gadis itu yang datang menuntut mayat bayi di HSAH bagaimanapun enggan ditemubual.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, polis kini sedang mencari teman lelaki gadis itu kerana kesalahan mengadakan hubungan luar nikah dengannya.

0 comments: