Followers

Saturday, December 5, 2009

PM lancar sambutan Inovatif Malaysia 11 Januari

LABUAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merancang memasukkan acara Generasi Muda Kreatif Asean dalam siri aktiviti sambutan Malaysia Inovatif 2010 yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 11 Januari depan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata kementerian itu mahu golongan muda berusia 21 tahun ke bawah dari negara anggota Asean, menyertai sambutan inovasi dan kreativiti sepanjang tahun.

Generasi Muda Kreatif Asean itu mencakupi pameran idea kreatif dan inovatif oleh golongan muda Asean selain persidangan dan seminar.

Ia dirancang diadakan antara 31 Ogos dan 16 September 2010 di Labuan, sebagai tambahan kepada acara yang sudah diluluskan oleh Kabinet.

“Kami berharap dapat mengumpulkan golongan muda Asean untuk mempamerkan inovasi dan kreativiti masing-masing dalam pelbagai bidang, seperti bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, seni dan industri kreatif.

"Matlamatnya ialah berkongsi semangat 1Malaysia dengan belia Asean untuk meningkatkan kesedaran dan kerjasama, selain berkongsi pengalaman dalam inovasi asli.

"Labuan menjadi tapak cadangan berdasarkan kedudukannya yang strategik, selain menggalakkan pelancongan. Acara itu akan diketuai oleh Yayasan Inovasi Malaysia, dengan kerjasama badan bukan kerajaan belia Asean,” kata Ongkili selepas mendengar taklimat kementerian kepada pelbagai kumpulan komuniti mengenai Program Malaysia Inovatif 2010 dan objektifnya di sini hari ini.

Bagi sambutan Malaysia Inovatif 2010, Ongkili berkata program yang sudah diluluskan oleh Kabinet meliputi Karnival Inovasi di pelbagai zon, pertunjukan realiti Kejohanan Inovatif 1Malaysia, selain mempromosi inovasi dan kreativiti pada Forum Dunia Islam keenam dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia.

Kemuncak sambutan itu ialah Festival Inovasi Malaysia di Bukit Jalil.

Sambutan Malaysia Inovatif 2010, diterajui oleh kementerian itu, dan 10 kementerian lain menyokong usaha untuk mempromosi inovasi sebagai pemacu ekonomi baharu seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri. - Bernama

0 comments: